ARAU, 7 Okt — Selepas universiti awam, Dasar Inklusif OKU (Orang Kelainan Upaya) akan turut diperluaskan ke semua politeknik dan kolej komuniti, kata Pengarah Akademik Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Zainab Ahmad.

Beliau berkata ketika ini hanya lima buah politeknik dan 13 buah kolej komuniti di seluruh negara yang melaksanakan program pengajian melibatkan OKU atau pelajar berkeperluan khas di peringkat Sijil Kemahiran.

Menurutnya JPPKK turut mengkaji keperluan dalam menyediakan prasarana dan kemudahan yang menyeluruh kepada pelajar-pelajar OKU khusus di politeknik dan kolej komuniti.

“Masyarakat kini telah menyuarakan pandangan mengenai keperluan untuk kita perluaskan program pengajian kepada OKU. Jadi kita nampak ada bidang yang begitu sesuai kepada pelajar OKU, terutama pelajar berkeperluan khas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas menghadiri majlis penutup Malaysia Polytechnic Gifted Leaders 2019 (MalPGL 2019) yang disempurnakan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Perlis di sini, hari ini.

MalPGL 2019 sejak Jumaat lepas bertujuan menonjolkan semangat berpasukan dan kepimpinan dalam kalangan pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) dan ia disertai 96 pelajar daripada lima buah politeknik yang terdiri daripada Politeknik Ungku Omar, Perak; Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Selangor; Politeknik Ibrahim Sultan, Johor; Politeknik Kota Kinabalu, Sabah dan PTSS.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here