SHAH ALAM, 5 Nov — Beberapa syarikat dari China dan Jepun menyatakan hasrat untuk melabur di Selangor berikutan tersedianya ekosistem dan infrastruktur lengkap di negeri ini, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Beliau berkata, keyakinan dua negara besar itu untuk membuat pelaburan turut membuktikan kemampuan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengekalkan Selangor sebagai negeri termaju di negara ini.

“Banyak pelabur asing amat berminat untuk melabur di Selangor selain syarikat dari Jepun dan China. Setakat ini, ada tiga kilang dari China yang berhasrat mahu memulakan tapak baharu dan memilih Malaysia dengan nilai pelaburannya bernilai lebih RM3 bilion,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Amirudin berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Rosni Sohar (BN-Hulu Bernam) berhubung prestasi ekonomi dan rizab Kerajaan Negeri.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rizab Kerajaan Negeri Selangor buat masa ini adalah melebihi RM2 bilion, sekaligus membuktikan kredibiliti serta kemampuan PH dalam menguruskan hasil negeri dengan baik.

“Seingat saya, ketika Pakatan Rakyat mengambil alih Selangor daripada Barisan Nasional, rizab negeri adalah antara RM800 hingga RM900 juta dan prestasi baik ini kemudian berjaya diteruskan oleh kerajaan PH,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here