GEORGE TOWN, 5 Nov — Tiga lagi hospital swasta akan dibangunkan di Pulau Pinang sekiranya rundingan ke arah pembinaannya berjaya, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Tanpa menyatakan jangka masa yang ditetapkan untuk pembangunan hospital itu, beliau berkata Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sedang berbincang dengan beberapa entiti swasta untuk membangunkan kemudahan itu di sekitar kawasan Batu Kawan, yang dianggap sebagai hub perubatan negeri.

“Sejak tahun-tahun kebelakangan ini Pulau Pinang menyaksikan pertumbuhan sihat dalam pelancongan perubatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pengenalan pakej oksigen mudah alih ringan Conoxia Linde Malaysia di Penang Adventist Hospital di sini.

Beliau berkata kemajuan Penang Adventist Hospital sejak 10 tahun lepas merupakan satu tanda bahawa arena pelancongan perubatan negeri kini berkembang dengan baik, yang turut memerlukan pembabitan kerajaan negeri dalam menyediakan kemudahan dan menjaga kepentingan lebih ramai pemain industri berkaitan yang terlibat.

“Industri semakin berkembang maju dan penyedia perkhidmatan mengiktiraf keperluan untuk terus kekal berdaya saing dengan kemudahan dan peralatan terbaik serta bantuan profesional, supaya kita dapat kekal sebagai sektor pelancongan perubatan terbaik di Malaysia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here