KUALA LUMPUR, 2 Dis — AirAsia hari ini melancarkan restoran makanan segera ASEAN yang pertama di bawah jenama menu penerbangannya, Santan dan T&CO.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd Tan Sri Tony Fernandes berkata pembukaan Restoran Santan dan Kafe T&COdi ibu negara itu berikutan permintaan tinggi bagi menu dalam penerbangannya di rantau ini, selain potensi perniagaan berkenaan untuk berkembang.

“Kami mendapati makanan penerbangan di AirAsia menjadi tarikan orang ramai. Jadi, dengan adanya restoran ini, ia memberi peluang kepada semua untuk mencuba makanan di restoran ini kerana belum pernah wujud sebuah restoran makanan segera yang memfokuskan menu makanan dari negara-negara ASEAN.

“Saya yakin keunikan ini dapat menjadi tarikan orang ramai di seluruh dunia untuk datang,” katanya kepada Bernama selepas pelancaran restoran itu di Mid Valley Megamall, hari ini.

Restoran itu dilancarkan secara bersama oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Fernandes.

Restoran itu menawarkan hidangan popular ASEAN bermula dari RM12 dengan pelanggan boleh menikmati Nasi Lemak Pak Nasser dan Nasi Ayam Uncle Chin serta hidangan popular lain seperti mi ikan bersama nenas dari Kemboja selain ayam inasal beserta nasi bawang dari Filipina.

Restoran itu juga dilengkapi ciri-ciri digital dengan memaparkan menu pintar yang dilengkapi dengan kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin untuk mencadangkan hidangan popular berdasarkan masa, corak pesanan lalu dan demografik.

Dalam pada itu, Fernandes berkata pihaknya mungkin akan mewujudkan aplikasi tersendiri bagi perkhidmatan penghantaran makanan kepada pelanggan, namun terbuka untuk bekerjasama dengan pihak yang menawarkan perkhidmatan seumpama itu.

Pengurus Besar Restoran Santan dan Kafe T&CO Catherine Goh pula berkata pihaknya menyasarkan membuka lima lagi restoran itu menjelang akhir tahun depan.

Beliau berkata 100 restoran dan kafe yang dikendalikan francais juga disasar dibuka dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang serta pengembangan di pasaran global.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here