KUALA LUMPUR, 6 Dis — Bank-bank masih bersedia memberi pinjaman kepada perniagaan dan isi rumah yang boleh membayar balik, selain telah meluluskan kira-kira tiga daripada empat permohonan pinjaman perumahan yang mereka terima.

Berdasarkan Rencana 2: Harapan Terhadap Bank: Adakah Pemberian Pinjaman Mencukupi dalam Buletin Suku Tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi Suku Ketiga 2019, untuk tempoh Januari hingga September 2019 sahaja, bank meluluskan pinjaman perumahan bernilai RM119 bilion kepada kira-kira 273,000 peminjam, dengan 42 peratus adalah pemilik rumah pertama.

BNM berkata bagi pinjaman perumahan, penolakan didapati berpunca daripada masalah lebih besar yang berkaitan dengan kemampuan memiliki rumah.

“Isu ini jelas dilihat daripada data yang menunjukkan 72 peratus daripada permohonan pinjaman yang ditolak adalah untuk tujuan pembelian rumah yang harganya nyata jauh di luar kemampuan pemohon jika dibandingkan dengan paras pendapatan mereka,” menurut BNM.

Sejak 2016, pembiayaan peribadi dan pinjaman perumahan bagi isi rumah menunjukkan peningkatan yang lebih selaras dengan pendapatan, masing-masing tiga hingga lima peratus dan tujuh hingga sembilan peratus, lebih rendah daripada paras tertinggi yang pernah dicatatkan, iaitu 20.5 peratus dan 13.4 peratus.

Dalam segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS), bank meluluskan antara tujuh hingga lapan permohonan daripada setiap sepuluh permohonan pinjaman yang diterima.

BNM berkata bagi tempoh sembilan bulan pertama 2019 nilai pinjaman yang diluluskan adalah RM50 bilion, lebih tinggi daripada purata tiga tahun lepas sebanyak RM48 bilion pada tempoh masa yang sama, sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 76,000 PKS.

Bagi PKS, penolakan pinjaman lazimnya dialami oleh perniagaan yang baru dimulakan, yang tidak mempunyai penyata kewangan yang lengkap dan mencatatkan nilai perniagaan bersih yang negatif.

Dari segi struktur, pertumbuhan pinjaman diberikan oleh bank adalah lebih stabil pada paras yang lebih sederhana berbanding dengan tempoh pertumbuhan kredit yang tinggi antara 2010 hingga 2014 — tempoh kredit penggunaan dan pemberian pinjaman hartatanah yang amat memberangsangkan.

“Pinjaman terkumpul sistem perbankan telah mencatatkan pertumbuhan lebih sederhana. Pada akhir September 2019, pertumbuhan tahunan pinjaman terkumpul daripada sistem perbankan adalah sederhana pada 3.8 peratus berbanding 4.1 peratus (2017) dan 5.6 peratus (2018).

“Pertumbuhan kredit yang sederhana ini mencerminkan trend struktur dan kitaran,” kata BNM.

Menurut bank pusat, pengembangan kredit yang semakin sederhana ini mencerminkan hasil daripada strategi dasar yang teliti dan berhati-hati untuk mengurus risiko tahap hutang isi rumah yang tinggi dan membendung kegiatan spekulasi yang keterlaluan dalam pasaran perumahan di Malaysia.

Pada asasnya, bank sememangnya ingin memberikan pinjaman untuk menjana pendapatan dan pendapatan faedah bersih bank di Malaysia khususnya, mencakupi bahagian terbesar iaitu 64.8 peratus daripada pendapatan kasar mereka, kata BNM.

“Sejak bertahun-tahun lepas, dorongan untuk memberikan pinjaman menjadi semakin kuat lebih-lebih lagi apabila margin keuntungan bank menerima tekanan yang lebih besar berikutan persaingan sengit dalam kalangan bank untuk mendapatkan bahagian pasaran.

“Disebabkan margin yang mengecil, keupayaan bank untuk meningkatkan jumlah pemberian pinjaman merupakan faktor yang semakin penting untuk mengekalkan tahap keuntungan mereka,” kata BNM.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here