KUALA LUMPUR, 22 Dis — Malaysia perlu melabur lebih banyak dalam infrastruktur yang dapat meningkatkan kadar penembusan digital untuk menarik lebih banyak syarikat Fortune 500, berikutan penggunaan teknologi dilihat sebagai kunci kepada pelaburan yang berkualiti pada masa depan. 

Naib Presiden dan Pengarah Urusan Sage Asia Arlene Wherrett berkata sejak Malaysia mula melangkah dalam sektor perindustrian, ia telah menjadi destinasi menarik untuk pelaburan berikutan kos menjalankan perniagaan dan buruhnya yang rendah. 

“Saya percaya Malaysia dapat meningkatkan rantaian pelaburan jika infrastruktur teknologi seperti internet 5G dan kadar penembusan internet yang meningkat akan menarik lebih banyak syarikat Fortune 500,” katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Malaysia menyasarkan untuk melaksanakan 5G pada tahun depan dan kerajaan telah melabur sebanyak RM21.6 bilion untuk Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) selama lima tahun yang akan memastikan kesalinghubungan berkelajuan tinggi dan berkualiti di seluruh negara. 

Sebagai sebahagian daripada NFCP, kerajaan akan turut meningkatkan kesalinghubungan di kawasan luar bandar, terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Wherrett berkata Malaysia turut disenaraikan sebagai antara negara utama memudahkan menjalankan perniagaan oleh Bank Dunia, membuktikan negara berada di landasan yang betul untuk menarik pelaburan.

Malaysia naik kepada kedudukan ke-15 dalam Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2019 daripada kedudukan ke-24 pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, Wherrett berkata terdapat beberapa segmen yang perlu ditambah baik oleh Malaysia dalam landskap digital untuk menarik syarikat ini mewujudkan operasi di sini. 

Kajian yang dijalankan oleh Sage baru-baru ini, bertajuk “We Power the Nation — People & Productivity” menunjukkan sebanyak RM6.46 juta hilang setiap jam daripada aktiviti pentadbiran di Malaysia berikutan masa diluangkan untuk melakukan kerja-kerja remeh.  

“Dalam setahun, perniagaan Malaysia mengalami kerugian sebanyak RM56.6 bilion daripada aktiviti pentadbiran,” kata Wherrett. 

Beliau berkata berdasarkan kajian, perniagaan Malaysia menyedari meningkatkan kemahiran digital penting untuk menyelesaikan isu produktiviti.

“Hampir separuh daripada pemimpin perniagaan di Malaysia melihat kemahiran digital sebagai pelaburan utama, manakala 78 peratus daripada semua pelan perniagaan mengenai pelaburan kemahiran digital.

“Bagaimanapun, walaupun tahap kesedaran tinggi mengenai kepentingan penggunaan digital dalam perniagaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih berpuas hati dengan meningkatkan kemahiran tenaga kerja mereka untuk menggunakan automasi,” katanya. 

Ditanya apa yang menghalang PKS daripada menggunakan automasi dalam model perniagaan mereka, beliau berkata kebanyakan halangan adalah daripada kekurangan pengetahuan mengenai cara untuk menggunakan kaedah digital dalam proses perniagaan mereka.

Mengenai cara untuk mengurangkan jurang itu, katanya: “Selain meningkatkan kemahiran tenaga kerja sedia ada, kita perlu meneliti sistem pendidikan. Sistem pendidikan Malaysia yang teguh merangkumi kurikulum baharu untuk memperkenalkan teknologi awal, penting untuk mempersiapkan golongan muda sebelum memasuki tenaga kerja pada masa depan.

“Pendidikan antara sebab utama Malaysia ketinggalan dalam aspek digital di Asia Tenggara. Jika kita dapat mengurangkan jurang itu, dan menjadikan teknologi sebagai keutamaan, kita akan dapat menyaingi negara sedang pesat membangun seperti Vietnam,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here