KUALA LUMPUR, 25 Dis — Kerajaan Pakatan Harapan telah memberi isyarat jelas kepada pelaburan tempatan dan asing bahawa Malaysia akan terus mengekalkan kestabilan makroekonominya, kata Ketua Ekonomi IQI Global, Shan Saeed.

Beliau berkata Bandar Malaysia, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM140 bilion, akan mengetengahkan era baharu momentum ekonomi yang memberi manfaat kepada rakyat jelata di peringkat bawah.

“Penglibatan dan kerjasama syarikat China membawa manfaat besar kepada penggiat tempatan dengan belajar dan menjajarkan diri mereka seiring kuasa pasaran dan tahap kecekapan.”

“Kerajaan menyedari hakikat bahawa pelaburan dalam infrastruktur akan dapat membantu merangsang pertumbuhan, mewujudkan pekerjaan dan menyediakan kestabilan struktur kepada ekonomi.

“Pada masa ini, kerajaan komited dalam fokus strategiknya untuk pembangunan, infrastruktur dan pertumbuhan,” katanya kepada Bernama. TV dalam temu bual di sini pada Selasa.

Shan, yang mempunyai pengalaman lebih 18 tahun dalam pasaran kewangan dalam bidang perbankan swasta, pengurusan risiko/pematuhan, pelaburan komoditi, ekonomi global, jenama dan strategi perniagaan, diminta mengulas mengenai pengumuman oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai pemulihan projek Bandar Malaysia baru-baru ini.

IQI Global ialah syarikat hartanah dan pelaburan terkemuka yang beroperasi dan menasihati pelanggan di Kuala Lumpur, Singapura, Hong Kong, London, Melbourne, Bangkok, Makati, Toronto dan Dubai.

Menurut Shan, ketika mengharungi tempoh yang bergolak, pelaburan infrastruktur menjadi obsesi baharu bagi kebanyakan ekonomi di ASEAN.

Menurut laporan negara oleh pakar ekonomi WSJ, ASEAN memerlukan pelaburan infrastruktur bernilai US$1.2 trilion yang mampu menampung pertumbuhan kawasan tersebut.

Beberapa negara yang memerlukan pelaburan infrastruktur termasuklah Myanmar (US$400 bilion), Indonesia (US$300 bilion), Vietnam (US$150 bilion), Filipina (US$150 bilion), Kemboja (US$100 bilion), Thailand (US$25 bilion), Laos (US$50 bilion) dan Malaysia (US$25 bilion)

Shan berkata pelaburan Infrastruktur mempunyai hubungan langsung dengan prospek pertumbuhan KDNK dengan impak yang lebih besar kepada tahap makro.

“Untuk tahun 2020, kami di IQI Global mengunjurkan KDNK Malaysia berlegar sekitar 4.4 peratus hingga 4.9 peratus.

FDI (pelaburan langsung asing) akan mengekalkan aliran mantapnya berdasarkan tiga sebab utama .. iaitu Malaysia merupakan penggiat penting dalam Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI), berdasarkan kedudukannya yang strategik di Selat Melaka dan tenaga buruh muda yang mahir dalam teknologi, katanya.

Shan berkata, Malaysia terus berada dalam radar pelabur global berikutan kestabilan politik dan ekonomi selain kestabilan infrastruktur yang memperkukuh unjuran ke atas ringgit, yang kini kekal stabil dan bergerak sekitar 3.97 hingga 4.30 berbanding dolar US pada 2020.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here