KUALA LUMPUR, 25 Dis – Bank-bank di Malaysia mencatatkan prestasi baik pada 2019 di tengah-tengah kemunculan teknologi kewangan (fintech) yang membentuk semula industri serta keadaan luaran yang tidak menentu berpunca antara lainnya daripada Brexit dan pertelingkahan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Faktor-faktor luaran bukan sahaja memperlahankan permintaan global tetapi juga mencetuskan kebimbangan terhadap kemelesetan serta perlindungan perdagangan yang menjejaskan keyakinan perniagaan dan seterusnya permintaan pinjaman.  

Meskipun cabaran ini, bank-bank Malaysia masih mencatatkan keuntungan kukuh dan aset berkualiti, dengan penampan modal yang lebih daripada mencukupi bagi mendepani potensi tekanan, meskipun margin yang lebih kecil dan beberapa penurunan kredit.

Malaysia memiliki 26 bank perdagangan, 16 bank Islam, sebuah bank Islam antarabangsa dan 11 bank pelaburan. Daripada 26 bank perdagangan itu, 18 adalah pemberi pinjaman berasaskan asing.

Sektor perbankan mencatatkan pertumbuhan sederhana dalam pendapatan dan juga pinjaman, mencerminkan penurunan momentum berian pinjaman serta sentimen berhati-hati terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

“Kami menyasar pertumbuhan pendapatan 3.5 peratus bagi sektor itu tahun ini, paras sederhana daripada 7.1 peratus pada 2018, dan pertumbuhan pinjaman antara 3 peratus dan 4 peratus daripada kira-kira 5-6 peratus tahun lepas,” kata Penganalisis Kanan MIDF Amanah Investment Bank Imran Yassin Yusof.  

Beliau berkata permintaan pinjaman yang sederhana daripada perniagaan telah membawa kepada pertumbuhan pinjaman lebih perlahan daripada dijangkakan tahun ini, manakala gadai janji dan runcit kekal stabil.

“Perniagaan sama ada lewat mengeluarkan pinjaman yang diluluskan atau memutuskan untuk membayar semula pinjaman sedia ada memandangkan keadaan ekonomi yang tidak menentu,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.  

Imran Yassin berkata bank yang mencatatkan prestasi utama berdasarkan kepada pertumbuhan pendapatan tahun ini ialah RHB Bank Bhd, AmBank (M) Bhd dan CIMB Bank Bhd, manakala prestasi Malayan Banking Bhd (Maybank) dan Public Bank Bhd agak tidak berubah.

Secara perbandingan, beliau berkata, pertumbuhan bank Islam terus mengatasi prestasi bank konvensional dengan pendapatan mencatatkan pertumbuhan dua angka.

Tahun ini juga menyaksikan fintech semakin diterima pakai dalam perbankan konvensional seperti di CIMB, Affin Bank Bhd, Hong Leong Bank Bhd dan AMMB Holdings Bhd, serta syarikat teknologi Grab menunjukkan minat mereka untuk mendapatkan lesen perbankan maya di negara ini.

Kumpulan CIMB, sebagai contoh, telahpun menubuhkan bank digital di Filipina pada Januari tahun ini.  

Selain itu, terdapat kira-kira 49 pengeluar e-wang bukan bank di Malaysia, di mana daripada jumlah itu tiga suku daripadanya menawarkan penyelesaian pembayaran mudah alih dan menyumbang 88.4 peratus daripada urus niaga dalam segmen itu.

Boost, GrabPay dan Touch ‘n Go (TnG) adalah antara e-dompet utama di Malaysia manakala yang lain ialah Lazada Wallet, Samsung Pay dan PayPal. CIMB Group Holdings Bhd memiliki 52 peratus pegangan dalam TnG.

Mengenai dasar monetari, tahun 2019 menyaksikan Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada Mei kepada tiga peratus dan keperluan rizab berkanun (SRR) daripada 3.5 peratus kepada 3.0 peratus pada November untuk mengekalkan mudah tunai yang mencukupi dalam sistem kewangan.

Imran Yassin berkata mudah tunai kekal besar dalam sektor dengan nisbah liputan mudah tunai berada pada purata 150 peratus tahun ini, meskipun deposit agak mengatasi pertumbuhan pinjaman.

Beliau berkata keperluan untuk memenuhi Nisbah Pembiayaan Stabil Bersih (NFSR) seperti yang ditetapkan oleh BNM juga memainkan faktor utama dalam usaha bank mengumpulkan deposit tahun ini.

Bank-bank yang agak berpilih dalam jenis aset yang mereka peroleh juga menyumbang kepada kualiti aset stabil yang menyokong caj/kos kredit rendah oleh bank-bank, kata Penganalisis Kenanga Investment Bank Bhd, Ahmad Ramzani Ramli.

“Memandangkan kadar faedah akomodatif, permintaan kredit dapat dikekalkan daripada isi rumah/peruncit di tengah-tengah permintaan lemah daripada korporat.

“Faktor penyumbang lain kepada pendapatan adalah pendapatan berasaskan fi yang berdaya tahan meskipun aktiviti pasaran modal yang lemah. Pendapatan berasaskan fi yang kukuh disumbang oleh peningkatan aktiviti perbendaharaan apabila bank-bank memanfaatkan penurunan OPR pada Mei,” katanya.

Beliau berkata tiada kesan ketara daripada penurunan OPR BNM memandangkan penormalan Margin Faedah Bersih yang berlaku dalam satu atau dua suku.

Melangkah ke 2020, Imran Yassin berkata segmen pengguna dijangka terus menyediakan sokongan kepada pertumbuhan pinjaman dan bank secara umumnya. Meskipun terdapat kemungkinan satu lagi penurunan OPR dalam suku pertama tahun depan, beliau berpendapat ia tidak akan memberi kesan ketara kepada pendapatan bank pada 2020.

SEKTOR INSURANS KEKAL STABIL

Pendapatan sektor insurans kekal stabil pada 2019 dengan pertumbuhan kukuh dilihat dalam perniagaan segmen takaful.

Penganalisis MIDF bagi sektor tersebut, Khoo Zhen Ye, berkata kadar penembusan takaful keluarga dilihat meningkat kukuh dengan pertumbuhan dua angka sebanyak 15.5 peratus pada separuh pertama tahun ini daripada kira-kira 9.3 peratus pada 2009, mengatasi perniagaan konvensional.

Beliau berkata, Syarikat Takaful Malaysia Bhd terus menjadi peneraju dengan kadar penembusan berkembang sebanyak 20 hingga 30 peratus manakala keuntungan bersih meningkat kira-kira 40 peratus.

Senario yang sama juga boleh dilihat dalam segmen takaful am yang mencatatkan prestasi lebih baik berbanding segmen konvensional, katanya kepada Bernama.

Khoo berkata, segmen takaful di Malaysia mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi berbanding insurans konvensional berikutan asas rendah, penggunaan domestik stabil dan peningkatan kesedaran pengguna, dan menambah pasaran juga mendapat rangsangan sebahagiannya daripada sasaran BNM untuk meningkatkan bahagian gabungan pembiayaan Islam kepada 40 peratus menjelang 2020.  

“Keseluruhannya pada 2019, segmen insurans hayat mencatatkan prestasi yang lebih baik berbanding segmen insurans am kerana insurans am sedang berada di fasa liberalisasi dalam tarif motor dan kebakaran.

“Liberalisasi tarif bermula tahun lepas tetapi insurans kebakaran yang sepatutnya berkuat kuasa tahun ini ditangguhkan ke tahun depan bagi memberikan sedikit ruang kepada pemain industri,” katanya.

Mengenai sektor insurans am, industri itu mencatatkan penurunan dalam separuh pertama 2019, susut 1.4 peratus tahun ke tahun berikutan kadar penembusan rendah dan peningkatan tuntutan.  

Menurut Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), industri berdepan dengan dua isu utama, iaitu kadar penembusan rendah dan peningkatan tuntutan.

Khoo berkata keseluruhan kadar penembusan insurans di Malaysia terus kekal tidak berubah sekitar 54 hingga 55 peratus bagi tempoh lima tahun lepas.

Bagaimanapun, beliau masih yakin dengan prospek pada masa depan di tengah-tengah permintaan kukuh domestik dengan pemacu utama pertumbuhan datang daripada segmen takaful hayat dan keluarga. Beliau menjangkakan bukan pemegang polisi akan mengambil kesempatan daripada pelepasan cukai takaful dan hayat baharu sebanyak RM3,000.

Beliau juga yakin dengan bahagian insurans am berdasarkan kepada penaja jaminan yang berhemat dan tumpuan yang terus diberikan untuk meningkatkan portfolio insurans yang menguntungkan seperti runcit, perkongsian harmoni dan industri kecil dan sederhana dalam segmen bukan motor.

Khoo berkata industri dijangka terus menyaksikan penggabungan pada 2020 dengan semua penginsurans asing dijangka menangani 30 peratus daripada keperluan pemilikan Malaysia sekiranya kerajaan meningkatkan usahanya sekali lagi dalam menguatkuasakan peraturan.

Peningkatan persaingan disebabkan oleh penghapusan kawal selia harga secara berfasa dalam industri insurans am mungkin juga akan membawa kepada kemungkinan aktiviti penggabungan dan pengambilalihan dalam kalangan syarikat insurans, katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here