KUALA LUMPUR, 1 Jan — Pelaburan infrastruktur padu projek Bandar Malaysia seluas 196.7 hektar yang dipulihkan semula baru-baru ini, memberi dorongan besar kepada pertumbuhan ekonomi negara di era baharu, kata Ketua Ekonomi IQI Global, Shan Saeed.

Shan berkata pelaburan infrastruktur mempunyai hubungan terus dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dan penyambungan projek itu memberi isyarat positif kepada semua penggiat, bukan sahaja di dalam negeri bahkan juga di seluruh dunia.

“Infrastruktur yang mantap dan stabil baik untuk ekonomi kerana pelabur dunia melihat pelaburan infrastruktur sebagai prasyarat penting untuk membuat pelaburan besar-besaran di negara ini. Kestabilan makroekonomi memacu keyakinan ekonomi dan membantu menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini.

“Kerajaan nampak sangat komited dan memberi tumpuan dalam menyampaikan manfaat ekonomi yang dapat memenuhi harapan rakyat,” katanya kepada Bernama.

Pada 17 Dis lepas, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) membenarkan perjanjian baharu antara TRX City Sdn Bhd (TRXC) dan konsortium Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) serta China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC ) – IWH CREC Sdn Bhd (ICSB) – untuk memulakan pembangunan Bandar Malaysia.

Perjanjian baharu itu, dengan penambahbaikan dari segi terma dan syarat dalam perjanjian asal, dijangka membawa manfaat ekonomi yang besar kepada negara, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM140 bilion untuk tempoh lebih 20 tahun.

Shan berkata keputusan kerajaan PH untuk meneruskan pembangunan projek Bandar Malaysia dan projek mega yang berkaitan, yang ditandatangani oleh pentadbiran terdahulu, dibuat berasaskan pertimbangan yang rasional.

“Kerajaan telah membuat keputusan yang bijak dan berhemat untuk menghormati perjanjian itu bagi mengekalkan tiga kriteria – kesinambungan ekonomi, rangka kerja yang kukuh serta kestabilan struktur,” kata Shan, yang mempunyai pengalaman dalam pasaran kewangan lebih 19 tahun, terutama dalam perbankan swasta, pengurusan risiko/pematuhan, pelaburan komoditi, ekonomi global, strategi jenama dan perniagaan.

Beliau bekata pelaburan infrastruktur sudah menjadi obsesi baharu bagi banyak kerajaan di ASEAN untuk menarik dana FDI dan dana kekayaan negara.

“Pada pendapat saya, infrastruktur yang kukuh dan stabil menggalakkan pertumbuhan ekonomi, membawa manfaat strategik kepada orang ramai, meningkatkan kesalinghubungan dan yang lebih utama mewujudkan landskap yang lebih baik untuk negara dalam menyediakan taraf hidup yang lebih baik untuk rakyat di peringkat makro,” katanya.

Shan berkata dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan menjual projek Bandar Malaysia kepada Republik Rakyat China (RRC) adalah tidak betul, kerana CREC (syarikat PRC) hanya mempunyai kira-kira 30 peratus kepentingan dalam ICSB.

“Tanah adalah milik kerajaan Malaysia yang memegang kuasa utama. Dengan menyediakan 30 peratus kepentingan kepada CREC, kerajaan telah memulakan pendekatan yang sangat pragmatik dengan melibatkan semua penggiat berkepentingan dalam projek itu bagi memastikan kejayaan pembangunannya.

“Kerajaan mengetahui kelebihan strategik Bandar Malaysia dalam landskap infrastruktur Kuala Lumpur, yang merupakan pencetus perubahan dalam pasaran hartanah,” katanya.

Shan berkata kerajaan telah mengumpul deposit pendahuluan berjumlah RM1.241 bilion untuk projek itu, sebagai jaminan bahawa konsortium terlibat serius dalam menyiapkan projek mengikut terma dan syarat yang dipersetujui.

Beliau juga mengulas berkata agihan 60 peratus keuntungan jualan daripada pembangunan Bandar Malaysia dalam bentuk dividen kepada TRXC dan ICSB, pada nisbah 50:50 dan terma pembayaran TRXC yang dipendekkan dan dipercepatkan dari tujuh tahun sebelumnya kepada tiga tahun, sebagai pengaturan kewangan yang adil yang dicapai oleh kerajaan PH.

“Kerajaan menjayakan segala usaha untuk memperbaiki hutangnya kepada nisbah KDNK. Ia adalah analisis manfaat kos tulen serta pengurangan risiko.

“Pada pendapat saya, niat strategik kerajaan adalah jelas, dengan mengurangkan kos bagi memberi manfaat maksimum kepada rakyat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here