KUALA LUMPUR, 3 Jan — Pelabur asing masih berminat dengan Malaysia, walaupun tumpuan mereka lebih kepada kelas aset yang lain terutamanya pasaran bon.

Pada November 2019, mereka memasuki pasaran bon dengan pelaburan sebanyak RM8.1 bilion.

MIDF Amanah Investment Bank Bhd Research (MIDF Research) dalam satu nota strategi berkata, dana antarabangsa menjual RM11.4 bilion nilai ekuiti Malaysia pada 2019, walaupun ia adalah lebih rendah berbanding dengan lebih RM15 bilion aliran keluar bersih asing yang dilihat pada 2015.

“Walaupun terdapat perubahan kecil dalam aliran keluar bersih asing pada 2019, Malaysia kekal sebagai negara dengan aliran keluar terbesar di kalangan pasaran ASEAN, bagaimanapun, ini tidak sepadan dengan jualan bersih asing yang besar sebanyak RM19.49 bilion yang disaksikan pada 2015.

“Bagaimanapun, peratusan penyertaan pelabur asing daripada jumlah nilai yang diniagakan dalam purata pasaran adalah 29.8 peratus pada 2019 berbanding 27.4 peratus pada tahun sebelumnya,” katanya.

Begitu juga, peratusan jumlah dagangan oleh pelabur asing daripada jumlah pasaran turut meningkat sebanyak 2.3 mata peratusan, kata firma penyelidikan itu.

MIDF Research berkata, pelabur antarabangsa mengumpulkan ekuiti tempatan bernilai US$23.65 bilion di tujuh pasaran Asia seperti Korea Selatan, Taiwan, India, Filipina, Thailand, Indonesia dan Malaysia, yang kedua tertinggi dalam tempoh lima tahun (2015 hingga 2019).

“Secara keseluruhan, pelabur antarabangsa merupakan pembeli bersih dalam sembilan daripada 12 bulan pada 2019 dengan April merekodkan aliran masuk asing yang tertinggi secara bulanan iaitu sebanyak US$10.33 bilion di tujuh pasaran Asia, seperti yang direkodkan di bawah liputan kami.

“Memasuki 2020, dengan mengandaikan senario garis dasar di mana pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China gagal mencapai penyelesaian penuh dan rantau Asia Timur terus dipenuhi oleh kekurangan prospek pemulihan semula kecairan makro, kami menjangkakan keadaan yang mana penilaian ekuiti akan kekal tertekan,” katanya.

Dalam keadaan sedemikian, MIDF Research menjelaskan bahawa FTSE Bursa Malaysia KLCI) FBM KLCI) mungkin akan menyaksikan penilaiannya menyusut ke arah yang lebih rendah.

“Sasaran asas kami untuk FBM KLCI pada 2020 adalah selaras dengan nisbah harga pendapatan sebanyak 16.5 kali.

“Dengan jangkaan pendapatan sesaham untuk 2020 pada 101.8, kami mengekalkan sasaran asas tahun kami untuk FBM KLCI pada 1,680 mata,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here