PUTRAJAYA, 9 Mac — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menamakan empat orang menteri kanan ketika mengumumkan kabinetnya hari ini untuk memastikan ia sebuah kabinet yang berfungsi  serta dapat menyampaikan perkhidmatan yang lebih berfokus.

“Menteri-menteri kanan akan membantu saya menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri termasuklah mempengerusikan mesyuarat kabinet pada waktu ketiadaan saya dalam negara.

“Dengan adanya menteri-menteri kanan ini, maka tiada keperluan pada masa ini untuk seorang Timbalan Perdana Menteri dilantik,” katanya.

Menteri-menteri kanan itu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Muhyiddin berkata menteri-menteri ini akan membantu beliau menyelaras hal ehwal kabinet yang berkaitan dengan bidang-bidang ekonomi, keselamatan, pembangunan infrastruktur serta pendidikan dan sosial.

“Menteri-menteri kanan ini akan membolehkan isu-isu berbangkit antara kementerian dalam bidang-bidang yang saya sebutkan itu dapat diselaras dengan lebih cekap dan berkesan. Ringkasnya, saya ingin membentuk sebuah kabinet yang benar-benar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat – a cabinet that delivers.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here