PUTRAJAYA, 9 Mac — Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan kabinetnya merangkumi 31 menteri, dan buat pertama kali dalam sejarah tidak menamakan timbalan perdana menteri.

Perdana Menteri sebaliknya mengumumkan pelantikan empat menteri kanan iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof; dan Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Pengumuman jemaah menteri itu dibuat oleh Perdana Menteri pada sidang akhbar khas di Perdana Putra di sini hari ini.

Muhyiddin berkata pelantikan menteri-menteri kanan itu akan membantu beliau menyelaras hal ehwal kabinet yang berkaitan dengan bidang ekonomi, keselamatan, pembangunan infrastruktur serta pendidikan dan sosial. 

Perdana Menteri berkata pelantikan menteri-menteri kanan itu akan membolehkan isu-isu berbangkit antara kementerian dalam bidang-bidang yang berkaitan dapat diselaras dengan lebih cekap dan berkesan.

“Saya ingin membentuk sebuah kabinet yang benar-benar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat – a cabinet that delivers.

“Menteri-menteri kanan akan membantu saya menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri termasuklah mempengerusikan mesyuarat kabinet pada waktu ketiadaan saya dalam negara. Dengan adanya menteri-menteri kanan ini, maka tiada keperluan pada masa ini untuk seorang Timbalan Perdana Menteri dilantik,” katanya.

Beliau berkata untuk memastikan kabinet yang terbentuk adalah kabinet yang berintegriti, semua anggota kabinet yang diumumkan itu telah melepasi tapisan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Muhyiddin turut dilihat mengambil tindakan “di luar kotak” dalam mengisi barisan kabinet baharunya dengan tidak bersandarkan kepada ahli politik semata-mata dalam pentadbirannya. 

Elemen baharu ini dicerminkan dalam pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Kewangan dan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Pelantikan teknokrat Tengku Zafrul itu dilihat sebagai sesuatu yang bersejarah kerana portfolio penting dan berpengaruh itu pada kebiasaannya dipegang oleh menteri kanan dalam parti pemerintah.

Turut mendapat perhatian ialah kembalinya PAS ke persada Kerajaan Persekutuan selepas 42 tahun dengan pelantikan tiga wakil rakyatnya menyertai kabinet. 

Mereka ialah Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Alam Sekitar), Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan bertanggung jawab hal Parlimen dan Undang-undang serta Ahli Jawatankuasa Kerja parti Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (Perusahaan Perladangan dan Komoditi).   

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here