PUTRAJAYA, 14 April (Bernama) — Keadaan COVID-19 di Malaysia terus merekodkan perkembangan baik apabila jumlah pesakit yang pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj dari wad hari ini berjumlah 202 orang, melebihi jumlah kes positif baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga 12 tengah hari ini, terdapat 170 kes baharu direkodkan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 4,987 kes. 

“Setelah kes kumulatif ditolak dengan kes discaj dan kematian, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,427 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya.

Bercakap pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini hari ini, Dr Noor Hisham berkata terdapat pertambahan lima kes kematian menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 82 kematian akibat COVID-19, setakat ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here