Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed

UALA LUMPUR, 15 April (Bernama) — Sebanyak 14,922 individu ditahan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu dan fasa dua sejak 18 Mac lepas sehingga semalam, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 5,830 orang telah dituduh di mahkamah dan sedang menjalani hukuman.

Huzir berkata pihak polis sedang mengesan enam individu yang didapati melanggar arahan PKP secara berulang.

“Ya, kami sedang giat mengesan mereka (individu yang melakukan kesalahan secara berulang ingkar PKP). Ingin saya tegaskan, pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap mereka yang ingkar PKP.

“Selain itu, tiada lagi denda kompaun dikenakan terhadap pesalah PKP fasa tiga ini sebaliknya individu yang ditahan akan terus dituduh di mahkamah,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan terus membuka kertas siasatan dan suspek ingkar PKP akan dirujuk ke timbalan pendakwa raya untuk dituduh di mahkamah.

“Mengapa kami berbuat demikian? kerana masih ramai lagi yang ingkar PKP, ini tidak sewajarnya dilakukan oleh rakyat Malaysia yang sepatutnya mematuhi arahan PKP,” katanya.

Huzir menasihatkan orang ramai agar terus patuh arahan PKP sepanjang fasa tiga ini yang bermula hari ini sehingga 28 April bagi memastikan penularan wabak COVID-19 dapat dihentikan secepat mungkin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here