EORGE TOWN (Bernama) — Tidak dinafikan bukan sesuatu yang mudah untuk seseorang itu mengubah kebiasaan atau rutin yang dilakukan setiap hari dan pada masa sama berfikiran positif terhadap perubahan drastik.

Diakui penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa ketiga (15-28 April) bagi mengekang penularan wabak COVID-19, membuatkan ramai yang terasa terkongkong.

Malah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menegaskan, selagi pandemik COVID-19 belum diatasi sepenuhnya di negara ini, rakyat perlu bersedia menjalani kehidupan harian dengan the new normal atau kebiasaan baharu untuk tempoh yang lebih lama.

HIDUP LEBIH BERSTRUKTUR

Justeru, bagi mengharungi tempoh “berkurung” yang agak panjang ini, Pensyarah Perubatan, Jabatan Psikiatri Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Kesihatan Profesor Madya Dr Asrenee Ab. Razak mencadangkan agar setiap individu menyediakan rutin harian yang padat supaya tidak dibelenggu perasaan negatif kerana terkongkong ekoran pergerakan yang terbatas di rumah.

“Dengan menyenaraikan butiran kerja yang perlu dilakukan sepanjang hari di rumah, dapat mengelakkan diri menjadi hilang arah. Rutin yang padat akan menjadikan kehidupan lebih berstruktur, sibuk dan bermanfaat,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Asrenee berkata, dengan mempunyai senarai tugasan atau akvititi harian yang padat, waktu bersama keluarga ketika di rumah pastinya akan lebih berkualiti dan sentiasa terisi.

Menurut beliau, setiap individu perlu membebaskan diri daripada pemikiran sempit dengan melakukan akvititi yang padat dan berfaedah setiap hari.

“Mereka tidak seharusnya sengaja menjerumuskan diri ke arah perasaan ‘terkurung’ atau ‘terpenjara’,” kata Asrenee yang juga Timbalan Pengerusi Kluster Tingkah Laku dan Minda Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM.

Dari aspek kesihatan dan ketenangan minda, beliau berkata teknik menarik nafas dalam-dalam akan membuatkan seseorang itu lebih fokus dan tenang.

Dalam tempoh PKP juga, katanya ibu bapa boleh membentuk pemikiran anak-anak menjadi seorang yang kreatif.

“Beri peluang kepada anak-anak untuk menerokai sesuatu perkara di rumah bagi mengelak rasa bosan,” katanya.

Mengulas lanjut, Asrenee berkata bagi golongan wanita yang berkeluarga dan bekerja dari rumah, mereka disaran merangka rutin pemakanan berkhasiat yang dapat meningkatkan sistem imuniti badan anggota keluarga mereka sepanjang PKP.

“Kaum wanita boleh wujudkan jadual masakan yang teratur, jadi mereka boleh tentukan menu berkhasiat setiap hari,” katanya.

JAGA KESIHATAN MENTAL

Menurut Asrenee penyebaran berita palsu mengenai COVID-19 dalam media sosial boleh memberi kesan psikologi terhadap seseorang individu dan menyebabkan mereka menjadi panik, resah dan takut terutamanya wanita dan warga emas.

“Apa yang penting ialah amalkan cara hidup yang sihat kerana jika kita tertekan kita cenderung untuk melakukan perkara-perkara yang negatif,” katanya.

Tambahnya, bagi keluarga yang mempunyai bekas pesakit mental, anggota keluarga disarankan untuk memberi sokongan berterusan dan menjadi pendengar yang baik sepanjang menghadapi PKP ini.

Jelas beliau, bekas pesakit mental cenderung mengalami masalah kemurungan sekiranya terus berfikiran negatif ketika dalam tempoh berkurung.

Sementara itu, Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam Pulau Pinang, Chong Eng berkata jiran tetangga perlu memainkan peranan melestarikan kesejahteraan keluarga secara keseluruhannya sepanjang PKP.

Beliau berkata dengan bertanya khabar sesama jiran, bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan malah dapat mengukuhkan institusi kekeluargaan dan komuniti setempat.

“Kerajaan negeri turut melaksanakan Projek Eko-Kraf untuk membantu ibu tunggal dan wanita yang kehilangan mata pencarian semasa PKP. Ia juga bertindak sebagai pemudah cara untuk mereka memohon bantuan kewangan bagi menjalankan perniagaan,” katanya.

MASA BERSAMA KELUARGA

Dalam pada itu, rata-rata rakyat dilihat sudah mula dapat menyesuaikan diri dengan perubahan baharu selepas lebih sebulan pelaksanaan PKP.

Walaupun aktiviti dan rutin harian banyak dihabiskan di rumah, namun waktu yang terluang itu diisi dengan aktiviti yang bermanfaat dan berkualiti bersama keluarga.

Seorang ejen insurans Mohd Azeli Ali, 42, berkata sejak pelaksanaan PKP, jadual harian lima anaknya diisi dengan membuat kerja rumah, belajar, mengaji al-Quran, solat, memasak dan bersukan yang dilakukan bersama-sama.

“Sebelum PKP, jadual harian saya agak padat dan waktu bersama keluarga agak terbatas. Jadi, tempoh PKP ini saya manfaat sebaik mungkin untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan,” katanya yang pernah bertugas sebagai wartawan.

Sementara itu, pesara polis, Mohammad Zain Rasit, 61, berkata PKP banyak memberi ruang kepadanya untuk melakukan aktiviti membaca di rumah, selain menghabiskan masa bersama keluarga dan melakukan kerja pertukangan.

Beliau yang bersara sejak Disember tahun lepas menyifatkan langkah yang diambil kerajaan membendung wabak COVID-19 adalah sesuatu yang baik buat semua.

“Memang rasa terkongkong (sepanjang PKP), namun sebagai bekas anggota keselamatan negara, langkah kerajaan ini nampak berkesan,” katanya.

Ibu tunggal, Nurrul Huda Ghazali, 49, pula memastikan rutin hariannya kekal aktif sepanjang PKP dengan melakukan senaman ringan setiap hari di dalam rumah. Ini bagi meningkatkan daya ketahanan badannya yang menghidap penyakit pramenopaus, sejak empat tahun lalu.

“Emosi saya cepat terganggu, jadi saya melakukan senaman ringan dan beriadah setiap hari agar emosi saya lebih stabil dan tenang,” katanya menambah beliau turut mengisi masa dengan mengemas, mengelap lantai dan menyapu halaman rumah.

Ibu kepada empat anak lelaki itu berkata, beliau turut merangka jadual kerja rumah untuk anak-anak bujangnya seperti menjemur dan melipat pakaian, mengemas rumah dan membuang sampah supaya rumah kekal bersih dan selesa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here