PUTRAJAYA, 21 April (Bernama) — Sebanyak 57 kes positif COVID-19 baharu dilaporkan setakat 12 tengah hari ini, sekali gus menyaksikan bilangan jangkitan wabak itu kekal pada paras dua angka selama empat hari berturut-turut di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata bilangan kes harian itu menjadikan jumlah kes kumulatif kini sebanyak 5,482 manakala seramai 54 pesakit telah pulih dan dibenarkan discaj daripada wad.

“Dalam tempoh beberapa hari ini, bilangan kes harian menunjukkan trend penurunan yang amat memberangsangkan,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini, jumlah kumulatif kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj daripada wad ialah sebanyak 3,349 kes iaitu bersamaan 61.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula ialah 2,041 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan. Daripada 57 kes baharu, 18 adalah kes import daripada warganegara Malaysia yang pulang dari luar negara dan 39 kes adalah kes penularan tempatan,” katanya.

Beliau berkata sehingga kini, seramai 43 pesakit COVID-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 27 daripada jumlah itu memerlukan bantuan pernafasan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here