KANGAR, 28 April (Bernama) — Sebanyak 39 buah rumah sekitar  Arau mengalami kerosakan dalam kejadian ribut dan hujan lebat yang melanda kira-kira 7 malam tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis, Mejar (PA) Mohd Farid Ishak berkata bilangan rumah yang rosak dijangka bertambah selepas penilaian dibuat hari ini.

“Angin ribut dan hujan lebat telah menyebabkan atap dan sebahagian struktur bumbung rumah mengalami rosak teruk.

“APM telah menghantar anggota untuk membantu mangsa dengan memasang kanvas sementara di rumah mangsa dan  melakukan kerja-kerja  pembersihan di kawasan terjejas,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.

Katanya rumah yang terjejas adalah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN)  Tambun Tulang iaitu di Bongor Kudong (lima  rumah), Padang Petani (lima rumah) dan Bendang Baru (enam buah), di kawasan DUN Sanji membabitkan tujuh rumah dan 16 buah rumah di DUN Sanglang.

Mohd Farid berkata selain APM, agensi lain yang turut membantu mangsa ialah Pejabat DUN dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here