KUALA LUMPUR, 26 Sept  — Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) memohon pertimbangan kerajaan untuk mewujudkan akses khas laluan hijau yang membolehkan syarikat tempatan, ekspatriat dan pelabur asing dari negara-negara hijau membuat perjalanan ke dan dari Malaysia.

Presiden Datuk Tan Yew Sing berkata ini ialah kerana tidak semua perjanjian dan pembuatan keputusan boleh diselesaikan secara maya kerana sesetengahnya memerlukan interaksi dan pemerhatian sebenar seperti pelaburan dalam pembangunan, hartanah dan pembuatan.

“Ahli perniagaan sanggup dikuarantin selama 28 hari atau lebih dan menanggung semua kos hanya untuk merasa tenang yang pelaburan besar mereka berbaloi.

“Ada yang telah membangunkan perniagaan mereka bertahun-tahun lamanya sementara ada yang mendapat pelaburan di luar negara. Ahli perniagaan selalu mempunyai penilaian sendiri dan selagi mereka mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), saya rasa saluran hijau ini tiada masalah,” kata beliau kepada Bernama selepas perhimpunan agung kebangsaan tahunan MCCC di sini hari ini.

Tan berpendapat satu kaedah untuk semua penyelesaiaan seharusnya tidak boleh diguna pakai kerana kerajaan perlu melaksanakan pendekatan seimbang dengan mengenakan SOP yang ketat dan mengawal isu COVID-19 serta pada sama memastikan kebangkitan semula ekonomi Malaysia.

Pada perhimpunan yang berlangsung hari ini, kesemua 10 resolusi iaitu dari ekonomi, politik, usahawan wanita sehinggalah kepada pendidikan telah diluluskan.

Antara resolusi itu ialah menggesa kerajaan membimbing perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam membuka pasaran antarabangsa dan mengguna pakai langkah logistik berkesan bagi meningkatkan infrastruktur negara.

MCCC turut menggesa kerajaan menyediakan bantuan kewangan tambahan yang boleh memacu transformasi digital dalam kalangan PKS dan mengurangkan cukai persendirian dan syarikat untuk meringankan beban rakyat dan merancakkan pertumbuhan ekonomi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here