PUTRAJAYA, 15 Jun (Bernama) — Projek Rangkaian Kereta Api Pantai Timur (ECRL) hanya 0.02 peratus lewat dalam jadual pelaksanaannya berikutan negara mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi kini kembali normal, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata kerajaan komited untuk memastikan projek ECRL berjalan lancar sejajar dengan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa projek mega itu diteruskan.

Katanya kerja-kerja di jajaran Seksyen A sepanjang 210.4 kilometer (km) dari Kota Bharu (Kelantan) ke Dungun (Terengganu) dan Seksyen B dari Dungun (Terengganu) ke Mentakab (Pahang) sepanjang 223 km, sedang berjalan dengan setakat ini sebanyak 16.45 peratus telah siap.

Bagi Seksyen C dari Mentakab ke Pelabuhan Klang (Selangor), katanya ia memerlukan sedikit penelitian dan perbincangan dengan kerajaan negeri memandangkan ia merupakan jajaran baharu.

“ECRL bagi jajaran yang telah ditetapkan telah berjalan dan akan menggunakan kaedah terbaik dengan tempoh yang diberikan untuk menyiapkannya,” katanya dalam temu bual bersama media bersempena 100 hari beliau sebagai Menteri Pengangkutan di sini baru-baru ini.

Pada 27 Mac lepas, Muhyiddin ketika pelancaran Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) mengumumkan kerajaan akan meneruskan pelaksanaan semua projek yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2020 termasuk ECRL, Transit Aliran Massa (MRT2) serta Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara.

Projek ECRL sepanjang 640 km itu disambung semula setelah perjanjian tambahan antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd dimeterai pada 12 April 2019 membabitkan pengurangan kos projek RM21.5 bilion berbanding kos asal RM65.5 bilion.

Dijadualkan siap pada Disember 2026, ECRL yang menghubungkan negeri-negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan Negeri Sembilan, Selangor dan Putrajaya dijangka dapat menjadikan perjalanan antara Kota Bharu dan Putrajaya kira-kira empat jam dengan kelajuan 160km/j bagi kereta api penumpang.

MRL adalah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan).

Mengenai kemungkinan penggabungan antara Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC), Wee berkata walaupun kerajaan menyedari KTMB menghadapi kesukaran tetapi tidak kepada tahap perlu bergabung dengan RAC seperti yang dilaporkan.

“Kami menyedari KTMB menghadapi kesukaran dan walaupun kutipan tidak mencukupi, kerajaan akan terus memberi subsidi kerana komitmennya untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan yang berpatutan untuk rakyat terutamanya mereka yang berada dalam kumpulan B40,” katanya.

Wee berkata Kementerian Pengangkutan (MoT) tidak berbincang dengan mana-mana agensi susulan laporan bahawa penggabungan KTMB dan RAC dalam perbincangan selepas kegagalan kedua-dua pihak untuk memenuhi perjanjian penstrukturan seperti yang digariskan dalam Perjanjian Akses Rangkaian Kereta Api (RNAA) pada 2016.

Di bawah RNAA, aset KTMB yang bernilai berbilion ringgit sepatutnya dipindahkan ke RAC, perjanjian yang akan membolehkan KTMB memberi tumpuan sebagai pengendali kereta api manakala RAC sebagai pemilik kereta api.

Mengenai pelantikan baharu Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) melibatkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman sebagai Pengerusi dan Chester Voo Chee Soon sebagai Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 1 Jun, Wee berkata setiap calon telah dinilai dengan teliti dan lantikan dibuat atas cadangan lembaga CAAM.

Beliau berkata mereka mempunyai dua tanggungjawab besar dalam memastikan status penarafan keselamatan ruang udara Malaysia dipulihkan semula kepada Kategori 1 daripada Kategori 2 oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat dan berdepan dengan audit Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dalam masa setahun setengah.

Wee berkata penurunan penarafan FAA pada tahun lepas telah memberi kesan buruk kepada sektor penerbangan, selain memberi kesan kepada syarikat penerbangan serta sektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

“Malaysia banyak membuat alat ganti, kalau jatuh ke Kategori 2 dan tidak naik semula ke Kategori 1, kita akan terkesan untuk jangka yang panjang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here