NEW DELHI, 3 Mei — Seorang Ahli Parlimen India yang didakwa melakukan penderaan seksual dan merakam video mangsanya berlepas ke Eropah dengan pasport diplomatik.

Prajwal Revanna, 33, yang mewakili kawasan pilihan raya  Hassan di dalam negeri Karnataka dalam  Lok Sabha (Dewan Rakyat) sedang disiasat kerana didakwa melakukan serangan seksual terhadap beratus wanita.

Dakwaan melibatkan Revanna menjadi satu isu politik kerana beliau merupakan seorang calon yang bertanding dalam pilihan raya India untuk kerusi dalam Lok Sabha.

Revanna ialah cucu kepada bekas Perdana Menteri H.D. Deve Gowda dan partinya Janata Dal (Sekular) yang merupakan sekutu kepada parti nasionalis Hindu India Bharatiya Janata Party (BJP).

Jurucakap Kementerian  Dalam Negeri India Randhir Jaiswal mengesahkan dalam satu taklimat media pada Khamis bahawa Revanna menggunakan pasport diplomatik untuk ke luar negara.

“Beliau pergi ke sana dengan pasport diplomatik. Ahli Parlimen diberikan keistimewaan untuk memegang pasport diplomatik,” katanya.

Wakil rakyat berkenaan berlepas ke Frankfurt pada 27 April lepas setelah rakaman video berkenaan tersebar, menurut laporan.

Kerajaan Negeri Karnataka telah menubuhkan satu pasukan siasatan khas (SIT) untuk meneliti dakwaan ke atas beliau.

Ketua Menterinya Siddaramaiah pada Rabu telah menulis surat kepada Perdana Menteri Narendra Modi supaya mengarahkan Kementerian Luar dan Kementerian Dalam Negeri untuk membatalkan pasportnya dan membawa balik Revanna untuk menghadapi siasatan.   

Jaiswal berkata Revanna tidak mendapatkan “kebenaran politik”daripada kementerian sebelum berlepas.

“Perkara ini masih dalam siasatan. Siasatan akan berjalan. Selepas itu tindakan yang sewajarnya akan diambil,”katanya.

Bapa Revanna, H.D. Revanna adalah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Karnataka.

Dakwaan terhadap Revanna adalah “dahsyat dan sangat memalukan serta ini telah menggoncang hati nurani negara,” tulis Ketua Menteri Karnataka itu dalam suratnya kepada Modi. 

“Sementara SIT bekerja keras untuk menyiasat dakwaan jenayah terhadap beberapa wanita yang dilakukan Prajwal Revanna, membawa balik beliau ke negara ini adalah yang paling penting supaya dia boleh disiasat dan dibicarakan mengikut undang-undang negara ini,” tulis  Siddaramaiah. 

Beberapa orang wanita telah tampil membuat aduan terhadap Revanna dan polis merekodkan satu kes pada 28 April.

Parti Janata Dal (Sekular) telah membuang ahli parlimen itu setelah kekecohan meningkat.

Pemacu pena mengandungi beribu video lucah yang dikatakan menunjukkan individu yang didakwa merupakan mangsa Revanna diedarkan di kawasan pilihan raya Hassan beberapa hari sebelum hari mengundi pada 26 April lepas, menurut laporan media.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here