JOHOR BAHRU, 26 Jun  — Banjir di Johor dilihat semakin pulih dengan jumlah mangsa berkurangan kepada 278 orang daripada 74 keluarga setakat 8.00 pagi ini berbanding 284 orang daripada 75 keluarga setakat 8.00 malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, kesemua mereka masih ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah iaitu Muar, Batu Pahat dan Pontian.

“Di Muar, 150 mangsa daripada 41 keluarga masih ditempatkan di tiga PPS, diikuti 114 orang daripada 29 keluarga ditempatkan di dua PPS di Batu Pahat manakala hanya 14 orang sahaja daripada empat keluarga masih di satu PPS di Pontian,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Di Muar, keadaan banjir dilihat surut secara berperingkat-peringkat dengan cuaca juga dilaporkan cerah di hampir setiap kawasan di daerah itu.

Faktor banjir sebelum itu difahamkan disebabkan air pasang surut sehingga membanjiri banyak kawasan rendah.

Sementara di Pontian pula, sejak semalam sehingga ke hari ini, cuaca baik dan air banjir di beberapa kawasan juga dilihat surut.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here