LANGKAWI, 26 Jun — Pasukan Polis Marin (PPM) memerlukan aset baharu dan canggih untuk mengekang jenayah rentas sempadan dan pencerobohan pendatang tanpa izin di perairan negara.

Timbalan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pulau Pinang Supt Shoppri Saad berkata penggantian aset sedia ada seperti bot laju yang canggih perlu memandangkan 60 peratus bot PPM telah beroperasi lebih 10 tahun, malah ada yang telah digunakan selama 30 tahun.

“Berdasarkan pemerhatian kami semasa membuat rondaan di perairan negara, kami dapati bot-bot pendatang tanpa izin kebanyakannya menggunakan enjin bot yang canggih dan laju.

“Ini amat menyukarkan kami untuk mengejar pendatang tanpa izin dan PPM amat memerlukan bot-bot canggih sedemikian untuk menangani bot mereka,” katanya kepada Bernama dalam liputan eksklusif media bersama Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF), di sini.

Shoppri berkata bot PPM tidak mempunyai radar canggih untuk mengesan pergerakan kapal atau bot asing yang memasuki perairan negara.

Selain itu, beliau berkata pihaknya juga berdepan kekurangan anggota PPM kerana tiada perjawatan baharu.

“Ini menyebabkan PPM kekurangan keanggotaan untuk melaksanakan penugasan membanteras jenayah rentas sempadan dan mengekang kemasukan pendatang tanpa izin,” katanya.

Beliau berkata bagi mengatasi masalah itu, pihaknya bekerjasama dengan Pasukan Gerakan Am untuk membuat rondaan di persisiran pantai dan unit udara polis untuk menjadi mata kepada PPM membuat tinjauan dari udara sebelum melaporkan tindakan selanjutnya.

Sementara itu, ditanya mengenai hasil siasatan penemuan mayat seorang wanita warga Rohingya susulan pencerobohan 269 pendatang tanpa izin di perairan Langkawi baru-baru ini, beliau berkata pihaknya masih menunggu hasil laporan bedah siasat mengenai punca kematian wanita berkenaan.

Pada 8 Jun lepas, Bernama melaporkan seramai 269 warga Rohingya yang cuba menceroboh perairan Langkawi ditahan oleh pihak berkuasa yang kemudiannya menemukan mayat seorang wanita dalam bot yang dinaiki mereka.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here