KOTA KINABALU, 4 Julai– Telekom Malaysia Bhd (TM) terus komited untuk menambah baik perkhidmatan jalur lebar di Sabah, kata Pengarah Wilayah TM negeri Datuk Mohd Sainal Mohd Amin.

Beliau berkata TM sedang melaksanakan kerja-kerja menukar talian tembaga kepada gentian optik untuk pertingkatkan lagi capaian internet di negeri ini. 

“Masalah capaian internet masih menjadi satu cabaran bagi TM Sabah kerana kami  perlukan masa bagi menggantikan talian tembaga kepada gentian optik dan ia dilaksanakan secara berperingkat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Semalam, Mohd Sainal melancarkan perkhidmatan jalur lebar Unifi TM berkelajuan tinggi di Pusat Internet, Kampung Pinggan-Pinggan, Pitas.

Dalam pada itu, Mohd Sainal berkata orang ramai boleh memanfaatkan perkhidmatan pusat Internet desa sebagai wadah ke arah menjalani kehidupan dalam kebiasaan baharu di samping pembelajaran secara dalam talian. 

“Sebagai tulang belakang telekomunikasi negara, TM akan terus memberikan khidmat agar masyarakat yang berada di luar bandar turut menikmati kemudahan internet berkelajuan tinggi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here