(Singapura, July 11) Parti Tindakan Rakyat (PAP) kekal berkuasa di Singapura tetapi jumlah sokongan merudum, sementara parti pembangkang mendapat lebih banyak kerusi, pada pilihan raya umum (PRU) diadakan semalam, ketika dunia dilanda pandemik koronavirus.

Pengundi keluar mengundi dengan memakai topeng pelitup muka, sarung tangan dan memastikan jarak sosial dipatuhi.

Negara yang menjadi hab kewangan itu menyaksikan kes jangkitan Covid-19 yang tinggi di asrama pekerja warga asing, tetapi PRU diteruskan juga apabila jangkitan baharu berkurangan dan perintah berkurung dilonggarkan.

PAP yang memerintah Singapura selama enam dekad, sentiasa yakin kemenangan milik mereka, dan memenangi 83 daripada 93 kerusi Parlimen, dengan 61.2% undi popular.

Tetapi jumlah itu kurang hampir 70% jumlah undi dimenangi pada PRU 2015, sementara pembangkang Parti Pekerja memperoleh 10 kerusi – pencapaian terbaik dalam sejarah PRU disertainya.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong yang kelihatan kecewa berkata “peratusan undi popular tidak setinggi yang saya harapkan”.

“Keputusan itu mencerminkan kesusahan dan ketidaktentuan dirasakan oleh rakyat Singapura terhadap krisis ini – hilang pendapatan dan bimbang dengan kerja,” katanya pada sidang akhbar.

Republik itu terjejas teruk akibat pandemik dan diramalkan bakal melalui kemelesetan ekonomi paling buruk sejak kemerdekaannya pada 1965.

Peratusan undi popular PAP begitu hampir dengan paras terendah pernah diperoleh iaitu 60.1% pada PRU 2011.

Tetapi bagi Parti Pekerja, yang hanya memegang enam kerusi, keputusan PRU semalam terasa seperti kejayaan besar. Kemenangan diraikan besar-besaran di kubu kuat parti itu, dengan orang ramai bersorak dan mengibarkan bendera.

Proses mengundi semalam agak kecoh dengan barisan panjang di luar pusat mengundi kerana keperluan menjalani pemeriksaan virus, menyebabkan pihak berkuasa mengundi melanjutkan waktu mengundi selama dua jam. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here