KUALA LUMPUR, 15 Julai — Setakat hari ini, kerajaan berjaya membawa pulang 23,955 rakyat Malaysia yang terkandas di 82 negara akibat penularan pandemik COVID-19, kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Kepulangan terbaharu melibatkan 143 rakyat Malaysia dari Jordan menerusi penerbangan yang diatur Kedutaan Diraja Thailand di Amman yang tiba pagi tadi bersama-sama 120 rakyat Thailand yang juga terkandas di negara itu.

Beliau berkata kepulangan rakyat Malaysia yang terkandas itu diikhtiarkan menerusi pelbagai cara termasuk bantuan pihak swasta, kerajaan serta penerbangan ihsan oleh negara-negara sahabat.   

“Saya juga ingin memaklumkan sehingga semalam masih terdapat 317 rakyat Malaysia yang diklasifikasikan sebagai terkandas di 37 buah negara,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata daripada jumlah itu, 191 orang dikategorikan sebagai berada dalam situasi kritikal termasuk 189 jemaah tabligh yang berada di India dan menghadapi tindakan undang-undang kerana menyalahgunakan visa lawatan sosial.

Menurutnya kerajaan juga mengenal pasti 10,159 rakyat Malaysia yang berpotensi terkandas di serata dunia dengan 9,270 daripadanya merupakan penuntut tahun akhir pengajian di universiti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here