KUALA LUMPUR, 15 Julai — Seramai 1,598 pendatang tanpa izin (PTI), 526 tekong serta 110 penyeludup ditahan menerusi Operasi Benteng sejak 1 Mei lepas hingga semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selain itu, katanya pihak berkuasa juga menahan 54 bot dan 156 kenderaan yang terlibat dalam percubaan menceroboh sempadan negara. 

“Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 68 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 37,001 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin terutamanya di lorong tikus dan berjaya menahan lima warganegara asing atas kesalahan imigresen,” katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Beliau berkata Operasi Benteng melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem) mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PTI bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak COVID-19.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata 52 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar arahan PKPP, dan daripada jumlah itu, 11 individu direman, seorang dijamin manakala 40 lagi dikompaun. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here