KUALA LUMPUR, 21 Julai — Harga tiket penerbangan dijangka akan kembali normal kepada harga purata pada tahun 2019 menjelang November ini, selepas syarikat penerbangan kembali menyediakan perkhidmatan penerbangan dengan kapasiti sebenar, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, berdasarkan analisa yang dilaksanakan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), perkara itu bagaimanapun bergantung kepada situasi pandemik COVID-19.

Beliau berkata, syarikat penerbangan dijangka memerlukan masa antara 18 bulan bagi sektor domestik, dan tiga tahun bagi sektor antarabangsa untuk pulih sepenuhnya, daripada impak wabak COVID-19.

“Menurut syarikat penerbangan, walaupun kerajaan telah memutuskan memberi pengecualian arahan jarakan sosial di dalam pesawat, tiket penerbangan tidak semestinya akan turun dengan serta merta.

“Syarikat penerbangan perlu memastikan terdapat permintaan yang berterusan dan stabil, sebelum harga tambang dapat kembali ke tahap normal, seperti sebelum wabak COVID-19,” katanya, menjawab soalan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti), berhubung langkah kementerian mengenai harga tiket penerbangan antara wilayah Sabah dan Sarawak ke Semenanjung Malaysia, yang terlalu tinggi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here