KUALA LUMPUR, 21 Julai– Kerajaan bersetuju mewujudkan inisiatif ‘MalaysiaMudah’ (#MyMudah) yang bermatlamat membantu syarikat dan perniagaan daripada dibebani peraturan tidak perlu dan kerenah birokrasi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menurutnya ‘MalaysiaMudah’ turut bertujuan mengurangkan kos perniagaan selain merangsang pewujudan peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi. 

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memandang serius hal ini, justeru mengarahkan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melakukan intervensi dan bertindak sebagai badan penyelesai masalah dalam menanganinya. 

“Para pemilik syarikat dan perniagaan terbabit boleh mengemukakan beban peraturan dan birokrasi yang mereka hadapi melalui portal konsultasi awam dalam talian selain pelbagai sesi libat urus yang dilaksanakan EAC dan MPC,” katanya.

Mustapa berkata beban yang dibangkitkan akan dianalisa oleh Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH), seterusnya dibawa ke mesyuarat EAC untuk dinilai sebelum keputusan dibuat. 

“Keputusan yang dibuat di mesyuarat EAC akan dilaksanakan oleh kementerian dan kerajaan negeri terbabit,” katanya.

Melalui inisiatif ini, Mustapa berkata kementerian dan kerajaan negeri akan dapat mengurangkan peraturan tidak perlu serta meningkatkan kecekapan perfungsian dan operasi mereka. 

Selain itu, beliau berkata kementerian dan kerajaan negeri juga diminta menetapkan sasaran yang jelas dalam usaha mengurangkan kos pematuhan peraturan (termasuk jumlah prosedur dan jangka masa pemprosesan) yang dikenakan kepada syarikat dan perniagaan.

“PEMUDAH akan memantau prestasi setiap kementerian dan kerajaan negeri dan membuat laporan berkala kepada EAC. 

“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri melalui MPC juga akan memberi panduan dan khidmat nasihat kepada semua kementerian dan kerajaan negeri dalam pelaksanaan inisiatif ini,” katanya.

Mustapa berkata perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat EAC yang dipengerusikan Perdana Menteri semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here