KUALA LUMPUR, 25 Julai : Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) perlu mewujudkan sebuah badan penyelaras sementara dengan segera bagi menyediakan garis panduan khusus berhubung pembukaan semula sempadan serta protokol kuarantin Covid-19.

Ketika membuat cadangan itu, Majlis Penasihat Perniagaan Apec (Abac) berkata, badan terbabit berperanan menyelaras kerjasama, perkongsian maklumat serta menilai data sedia ada bagi kriteria yang dipersetujui untuk membolehkan ekonomi Apec mempertimbangkan masa dan kaedah pembukaan semula sempadan.

Katanya, ini sekaligus dapat membantu ekonomi terbabit melakukan usaha berkenaan dengan mengamalkan langkah selamat secara optimum.

“Pandemik Covid-19 membangkitkan kepentingan aspek kesalinghubungan digital yang mantap bagi menggalakkan penyertaan ekonomi serta memacu pertumbuhan inklusif.

“Ekonomi Apec harus menerapkan pembangunan infrastruktur digital yang lebih selamat, mudah diakses serta mampu untuk semua dan memudahkan aliran data merentasi sempadan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Abac berkata, perlu wujud komitmen perkongsian hasil penyelidikan dan penyelesaian vaksin secara percuma serta terbuka, manakala perdagangan wajar terus memainkan peranan penting dalam pemulihan ekonomi.

Katanya, kalangan pemimpin Asia Pasifik dijangka membentangkan Laporan Covid-19 Abac kepada Menteri-menteri Bertanggungjawab Bagi Perdagangan (MRT).

Laporan itu antara lain menggariskan cadangan Abac sebagai maklum balas terhadap impak pandemik serta meletakkan asas bagi pemulihan ekonomi dan daya tahan rantau tersebut.

MRT APEC dijadualkan berlangsung hari ini bagi membincangkan cabaran akibat pandemik Covid-19 selain mengemudi rantau ini ke arah pemulihan lebih pantas.

Mengulas impak segera akibat pandemik itu, Pengerusi Abac, Rohana Mahmood berkata, apa yang perlu menjadi keutamaan ialah memastikan pasaran barangan, perkhidmatan dan pelaburan kekal terbuka.

“Pandemik global seperti ini memerlukan reaksi global yang selaras. Dalam dunia serba bersepadu dan saling berhubung, tidak masuk akal bagi mana-mana ekonomi bertindak bersendirian menangani pandemik itu.

“Pasaran yang terbuka dan tiada diskriminasi akan memastikan produk serta perkhidmatan mampu menjangkau golongan amat memerlukan. Begitu juga keadaannya dari segi pelaburan penting untuk menampan impak ekonomi terjejas akibat pandemik itu.”

Katanya, rantau terbabit perlu melipatgandakan usaha untuk mempertingkatkan penyertaan kewangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta di peringkat perdagangan antarabangsa menerusi persekitaran lebih memberangsangkan dan pembangunan kapasiti bagi transformasi digital.

“Lebih-lebih lagi sekarang yang memerlukan kita untuk kekal di landasan liberalisasi perdagangan dan pelaburan serta tidak mengetepikan perdagangan bebas.

“Kita perlu sentiasa ingat usaha mewujudkan pasaran terbuka di rantau ini berjaya mengeluarkan berjuta-juta orang daripada kemiskinan dan tidak berganjak daripada aspek globalisasi.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here