KUALA LUMPUR, 28 Feb – Kerajaan masih mewajibkan Import Permit (IP) bagi beberapa komoditi dan produk berasaskan pertanian seperti ayam, telur ayam dan khinzir bagi menjamin keselamatan makanan serta melindungi negara daripada ancaman penyakit.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin berkata IP juga penting bagi melindungi negara daripada ancaman makhluk perosak selain menjamin kebersihan makanan dan memastikan ia mematuhi aspek halal.

Selain itu, katanya kerajaan turut mengambil maklum bahawa bekalan beberapa produk makanan terjejas akibat penularan penyakit zoonotik seperti African Swine Fever (ASF) dan Highly Pathogenic Avian Influenza (HPAI) di beberapa negara yang menjadi negara sumber makanan Malaysia.

Chan berkata kerajaan telah melaksanakan langkah intervensi dengan menambahkan sumber makanan import dari loji pemprosesan makanan luar negara yang mematuhi syarat ketat yang ditetapkan, sebelum produk tersebut diimport ke Malaysia.

“Pihak berkuasa seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga sentiasa mengambil langkah berhati-hati dalam menetapkan syarat import kepada haiwan dan anggota haiwan bagi memastikan penyakit tidak merebak ke dalam negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here