KUALA LUMPUR, 13 Ogos– Warganegara asing yang dibenarkan memasuki Malaysia perlu membayar caj kuarantin dan fi ujian pengesanan COVID-19 terlebih dahulu sebaik tiba di pintu masuk antarabangsa Malaysia, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ini kerana terdapat warganegara asing yang dibenarkan masuk ke negara ini enggan membayar kos tersebut setelah dihantar ke hotel atau Institut Latihan Awam (ILA), tempat untuk mereka dikuarantin wajib.

“Mana-mana warganegara asing yang gagal berbuat demikian akan dikenakan tindakan ‘Not-To-Land’ (NTL) (Tidak Dibenarkan Mendarat) oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM),” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata dari 24 Julai sehingga semalam, seramai 10,173 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 59 hotel dan lima ILA di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Perlis, Kedah dan Labuan. 

Daripada jumlah itu, katanya seramai 44 individu telah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 2,332 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang ke rumah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here