KUALA LUMPUR, 14 Ogos — Prihatin dengan peningkatan keperluan bekalan darah negara  selain ingin memperkasa kesedaran menderma darah dalam kalangan masyarakat, Mcdonald’s Malaysia mengambil inisiatif menganjurkan Hari Derma Darah selama dua hari bermula semalam.

Timbalan Presiden Sumber Manusianya Azhar Darbi berkata program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kali keempat itu merupakan kerjasama dengan Pusat Darah Negara (PDN), Kuala Lumpur bertujuan memastikan bekalan darah di PDN sentiasa ada.

Program itu juga sebagai menyokong saranan kerajaan dalam menggalakkan rakyat Malaysia menderma darah secara berkala terutama dalam keadaan negara masih bergelut dengan pandemik COVID-19, katanya.

“Setiap tahun, Hari Derma Darah seperti ini menerima sambutan yang sangat memberangsangkan daripada orang ramai dan kakitangan Mcdonald’s Malaysia sendiri.

“Kita dah mulakan program ini sejak semalam, dan Alhamdulillah ramai yang datang menderma, kita sasarkan seramai 450 penderma hadir untuk program dua hari ini, kita mahu setiap individu sedar tentang keperluan menderma darah,” katanya kepada pemberita selepas meninjau program itu, hari ini.

Azhar berkata Mcdonald’s Malaysia merancang untuk memperluas program derma darah itu ke seluruh negara bagi membantu PDN pada tahun hadapan.

Sementara itu, Pakar Patologi (Hematologi) PDN Dr Tun Maizura Mohd Fathullah berkata pihaknya menyambut baik usaha dilakukan Mcdonald’s Malaysia dalam menggalakkan orang ramai menderma darah dan menarik minat menjadi penderma.

“Memandangkan ia terbuka kepada orang awam, PDN yakin program ini dapat mewujudkan kesedaran meluas mengenai kepentingan menderma darah dan pastinya darah yang didermakan akan menyumbang dalam perawatan pesakit.

“Kita juga sangat berterima kasih kepada Mcdonald’s Malaysia kerana menjadi penganjur tetap kami dalam membantu memastikan stok darah di PDN mencukupi. PDN berharap penganjuran program kesedaran dan kempen seperti ini akan dilaksanakan pihak lain juga,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here