BEIJING, 26 April — China akan mempergiat usaha membendung penularan COVID-19 varian Omicron, kata jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin pada sidang akhbar di sini, pada Isnin.

Mengulas mengenai beberapa pekeliling dikeluarkan kerajaan Beijing tentang langkah-langkah baharu melawan wabak itu, Wang berkata, dasar ‘dinamik sifar COVID-19’ serta peraturan-peraturan yang dilaksanakan sekarang ini adalah berasaskan sains dan cadangan pakar.

“Langkah dan peraturan itu juga bersesuaian dengan keadaan serta prinsip Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Ini adalah bagi menjamin keselamatan nyawa dan kesihatan penduduk tempatan dan warga asing di negara ini, selain menyumbang kepada usaha mengekang wabak di dunia,” katanya.

Statistik terkini menunjukkan, kadar kematian COVID-19 di China berada pada nisbah empat dalam setiap sejuta orang pada 2021, iaitu hanya 1/606 berbanding kadar kematian di Amerika Syarikat (AS).

Wang turut tidak menafikan bahawa sebarang langkah mengekang wabak pasti akan memberikan kesan kepada kehidupan rakyat dan ini tidak boleh dielakkan oleh mana-mana negara.

“Berbeza dengan negara-negara lain, kebanyakan rakyat China memahami serta menyokong dasar dan langkah-langkah kerajaan China dan penuh keyakinan untuk membendung wabak,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here