KUALA LUMPUR,14 Ogos: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak membatalkan pertuduhan membuat pindaan pada laporan akhir audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya.

Bekas Perdana Menteri itu menghadapi pertuduhan terbabit bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan dalam penghakimannya, berkata permohonan berkenaan seharusnya dipertimbangkan di akhir kes pendakwaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ahli Parlimen Pekan itu didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan terhadap laporan akhir audit 1MDB yang dimuktamadkan Ketua Audit Negara, sebelum laporan itu ‘sekali lagi dimuktamad’ dan dibentangkan di hadapan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Najib dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 22 dan 26 Februari 2016.

Beliau dituduh bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan terhadap laporan berkenaan bagi melindungi bekas Perdana Menteri itu daripada tertakluk kepada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, pada masa dan tempat sama, selaras Seksyen 28 (1) (c) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 23 (1) dan 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here