KUALA LUMPUR, 23 Dis — Permohonan Bantuan Wang Ihsan (BWI) tidak pernah ditutup malah kerajaan akan membayarnya setiap kali rakyat ditimpa bencana, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Misalnya, Ismail Sabri berkata beliau mengarahkan jika berlaku banjir dua kali, maka kerajaan akan turut membayarnya sebanyak dua kali.

“Permohonan BWI tidak pernah ditutup. Malah kerajaan akan bayar setiap kali mereka ditimpa bencana. Kalau dua kali dilanda bencana, dua kalilah kerajaan akan bayar. Itu arahan saya,” menurut Ismail Sabri dalam hantaran di Twitternya hari ini. 

Hantaran beliau sebagai menjawab ciapan Twitter Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh yang mendakwa bagaimana kerajaan mengumumkan bantuan kewangan banjir RM1,000 tanpa butiran lengkap dan secara tiba-tiba menutup permohonan esok.

Justeru, Perdana Menteri meminta Hannah untuk membuat semakan fakta terlebih dahulu agar tidak mengelirukan rakyat.

“Baik YB fact check (semak fakta) dulu, jangan terus percaya pada maklumat WhatsApp. Tindakan YB mengelirukan rakyat,” menurut Ismail Sabri. 

Kerajaan sebelum ini bersetuju menaikkan kadar BWI daripada RM500 kepada RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah yang terjejas ketika Monsun Timur Laut atau lain-lain bencana yang diisytiharkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat.

Inisiatif BWI itu dijangka meringankan beban lebih 39,100 ketua isi rumah yang melibatkan peruntukan lebih RM39.5 juta daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here