JOHOR BAHRU, 15 Ogos  — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini bersetuju untuk membentuk kumpulan khas penasihat anak muda, dalam usaha kerajaan memperkukuhkan landasan pembangunan golongan belia di negara ini.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan bakal melantik seorang wakil belia dalam Parlimen Malaysia, untuk Dewan Negara.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, keputusan itu diambil hasil pertemuan beliau dengan pemimpin Majlis Belia Malaysia (MBM), baru-baru ini. 

“Setiap satu yang dibangkitkan, kesemuanya dicatit dan sebahagian besar cadangan saya setuju dengan cadangan yang dikemukakan MBM. Saya nak umumkan di sini antaranya yang disebutkan saudara Jufitri Joha tadi adalah, supaya kerajaan menubuhkan kumpulan khas penasihat anak-anak muda.

“Nasihat saya untuk memberitahu bagaimana harus saya lakukan untuk anak-anak muda. Saya bersetuju dengan cadangan itu dan Insya-Allah ini akan kita laksanakan.

“Untuk menentukan suara anak-anak muda sampai ke peringkat tertinggi dalam sistem demokrasi, saya juga nak umumkan lantikan seorang wakil belia dalam Parlimen Malaysia di Dewan Negara,” kata beliau ketika berucap pada perasmian Sambutan Hari Belia Negara 2020 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini, yang disambut dengan tepukan gemuruh dari kira-kira 400 belia dan jemputan.

Terdahulu, Jufitri, yang merupakan Presiden MBM, dalam ucapannya memohon agar Perdana Menteri mempertimbangkan penubuhan ‘Kumpulan Khas Penasihat Anak Muda Berkepakaran’ bagi menasihati, memberikan idea, dan bekerja bersama-sama pemimpin nombor satu negara itu, bagi membangunkan belia dan negara.

Selain itu, Jufitri juga berharap agar kepimpinan negara menampilkan lebih ramai tokoh-tokoh muda yang berkelayakan, untuk berada dalam dewan legislatif dan platform pembuatan dasar dan polisi di semua peringkat, selaras dengan penurunan had umur belia kepada 30 tahun.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengangkat peranan belia yang turut membantu membudayakan hasrat kerajaan, untuk rakyat mengamalkan norma baharu dengan mendorong kepada peningkatan penggunaan platform digital, dalam perniagaan.

Menurut beliau, daripada sekadar berkomunikasi, belia telah dapat memanfaatkan platform digital, untuk menjana pendapatan.

“Ini telah membuka peluang kepada sektor industri yang menjana manfaat jangka pendek, seperti industri e-dagang, makanan, pertanian dan perkhidmatan kesihatan,” kata Perdana Menteri.

Perdana Menteri turut menyentuh peranan belia, yang memainkan peranan penting dalam negara ketika berdepan dengan wabak COVID-19.

Tambah Ahli Parlimen Pagoh itu, para belia pastinya sudah bersedia untuk menjadi pasukan ‘barisan hadapan’ dalam membantu kerajaan memerangi COVID-19.

“Justeru saya menyeru para belia sekalian untuk menunjukkan contoh terbaik dalam membudayakan norma baharu dalam kehidupan harian kita. Tanpa kerjasama saudara saudari sekalian, adalah mustahil untuk kita berjaya menamatkan terus rantaian jangkitan COVID-19 ini,” kata beliau.

Beliau percaya golongan belia, yang juga ramai terdiri daripada kalangan petugas barisan hadapan, menjadi contoh generasi yang bersifat ‘resilient’, iaitu mempunyai daya tahan terhadap cabaran yang cukup getir, seperti wabak COVID-19 yang sedang negara perangi.

Pada sambutan tersebut, Perdana Menteri turut menyampaikan anugerah kepada 13 pemenang Anugerah Perdana Belia Negara, termasuk penceramah bebas Ebit Irawan Ibrahim Lew atau dikenali sebagai Ustaz Ebit Lew, yang menerima Anugerah Khas.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad serta Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here