KUALA LUMPUR, 18 Ogos — Tenaga Nasional Bhd (TNB) menawarkan insentif khas untuk menggalakkan pelanggan perdagangan menerangi bangunan dan kawasan persekitaran masing-masing dengan lampu hiasan sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-63 pada tahun ini.

Insentif itu, yang bermula sejak tahun 2000, ditawarkan kepada pelanggan perdagangan di bawah tarif B, C1 dan C2 yang telah beroperasi sekurang-kurangnya setahun (sebelum 1 Ogos, 2019).

“Mereka akan menikmati insentif itu untuk tempoh dua bulan, dari Ogos hingga September 2020. Bagaimanapun, insentif itu hanya akan tertera di dalam bil bulan Oktober 2020 bagi pelanggan yang layak. 

“Ia melibatkan bangunan pencakar langit, bangunan pejabat, kompleks komersial, kompleks beli-belah, hotel dan stesen minyak,” menurut TNB dalam kenyataan hari ini.

Kadar insentif adalah 20.8 sen/kWj (kadar tarif Neon dan Floodlight) bagi jumlah peningkatan penggunaan tenaga elektrik yang melebihi purata kegunaan tiga bulan yang diambil dari bulan Mei, Jun dan Julai 2020. 

Pelanggan yang layak boleh membuat permohonan di Kedai Tenaga berhampiran atau melalui portal myTNB (www.mytnb.com.my).

Tarikh tutup permohonan ialah pada 15 Sept 2020. Bagi sebarang pertanyaan, pelanggan boleh menghubungi TNB CareLine di talian 1-300-88-5454 atau e-mel ke tnbcareline@tnb.com.my. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here