BATU PAHAT, 20 Ogos — Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melaksanakan penjualan nombor plat khas kenderaan siri ‘UTHM’ sebagai inisiatif untuk menjana pendapatan sendiri.

Pengarah Pusat Wakaf dan Endowmen UTHM Prof Dr Wan Zahari Wan Yusoff berkata usaha berkenaan selaras dengan saranan kerajaan yang mahukan setiap universiti awam (UA) mampu menjana pendapatan sendiri.

Beliau berkata usaha itu yang bermula pada Februari lepas, bertujuan mengurangkan bebanan dan tanggungan kewangan dalam bidang pengajian tinggi di Malaysia.

“Penjualan nombor plat khas ini melibatkan 9,999 nombor dan ia dijual secara eBida yang terbuka kepada staf, alumni dan pelajar UTHM, selain turut dibuka kepada orang awam.

“Nombor plat khas UTHM ini melalui hasil tempahan awal telah berjaya didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Johor Bahru pada 30 Jun lepas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wan Zahari berkata mereka yang berminat untuk mendapatkan nombor plat berkenaan boleh melayari sistem bidaan berkenaan di ebida.uthm.edu.my.

Beliau berkata selain penjualan nombor plat berkenaan, pihaknya turut mempunyai beberapa perancangan strategik untuk menjana pendapatan universiti yang akan disalurkan ke Tabung Endowmen UTHM.

Menurut Wan Zahari, sejak ditubuhkan pada 2013, pusat berkenaan telah berjaya membiayai 24 pelajar kurang berkemampuan dengan 13 geran penyelidikan dan pembangunan (R&D).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here