PETALING JAYA,23 Ogos: Putrajaya perlu melanjutkan tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) melepasi tarikh 31 Ogos depan, kata bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau menggesa kerajaan mengambil langkah itu bagi menunjukkan kesungguhannya memerangi wabak Covid-19 sehingga ancamannya tamat, selain menambah bahawa perintah itu harus diberikan nama baru.

“Hanya ini cara untuk menguatkuasakan prosedur operasi standardnya,” katanya kepada FMT.

Perintah kawalan pergerakan yang mengehadkan aktiviti awam mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas. Sekatan dilonggarkan secara beransur-ansur dengan pembukaan semula sektor ekonomi terpilih dari Mei hingga Julai.

Perintah kawalan pergerakan yang kini dilaksanakan akan berakhir pada 31 Ogos depan.

Lee berkata, kerajaan masih perlu melaksanakan bentuk PKP tertentu bagi menguatkuasakan kuarantin wajib, pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.

“Bagi membolehkan rakyat mengikut prosedur itu, kerajaan perlu memastikan tidak wujud dwi-standard. Orang awam dan ahli politik mesti mengikut peraturan ditetapkan,” katanya.

Lee merujuk kepada dakwaan ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok minggu lepas bahawa Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali yang pulang dari Turki pada 7 Julai tidak menjalani kuarantin wajib 14 hari kerana beliau didapati hadir sidang Dewan Rakyat pada 13 Julai.

Lee berkata, walaupun Khairuddin disahkan negatif Covid-19 di KLIA, namun simptom wabak itu mungkin zahir lebih lewat, sekali gus menjadikan tempoh kuarantin itu penting.

Beliau juga berkata, semua peraturan baru berkaitan Covid-19 hendaklah jelas, selain menambah bahawa arahan terbaru mengenai pemakaian pelitup muka di tempat awam menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.

Katanya, semua petugas barisan depan, termasuk penyambut tetamu, penjaja dan jurujual hendaklah diwajibkan memakai pelitup muka kerana mereka berurusan dengan orang awam.

“Undang-undang lebih ketat perlu bagi memastikan semua petugas barisan depan memakai pelitup muka semasa bekerja,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here