PETALING JAYA, 23 Ogos: Kompaun RM1,000 yang dikenakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) ke atas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali, adalah had maksimum yang dibenarkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kadar maksimum kompaun RM1,000 yang dikenakan ke atas menteri terbabit ditetapkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

“Kompaun maksimum mengikut Akta 342 terhadap mereka yang ingkar peraturan serta perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah hanya RM1,000,” katanya di Twitter hari ini.

Beliau memberi respons terhadap reaksi warganet yang mempertikaikan kadar kompaun yang dikenakan oleh KKM itu yang disifatkan terlalu rendah berbanding kesalahan yang dilakukan.

Noor Hisham berkata, dalam isu membabitkan menteri berkenaan, pihak polis masih menjalankan siasatan susulan laporan yang diterima pihak berkuasa itu.

“PDRM sedang menjalankan siasatan susulan laporan polis,” katanya.

KKM dalam kenyataan semalam berkata, Khairuddin dikompaun RM1,000 selepas didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.7) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Ia menimbulkan rasa tidak puas hari segelitir pihak, termasuk ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi yang dilaporkan berkata, Khairuddin sepatutnya didakwa di mahkamah atas kesalahan melanggar perintah kuarantin selama 14 hari.

Katanya, jumlah kompaun RM1,000 yang dikenakan juga terlalu rendah dan amat tidak adil, selain mempersoalkan sikap “double standard” KKM dalam kes itu.

Sebelum ini, Khairuddin menjadi sasaran kritikan pembangkang apabila dikatakan tidak menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.

Sebaik sahaja dikenakan hukuman kompaun oleh KKM, Khairuddin memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana kegagalan mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Katanya, beliau akan memulangkan gaji sebagai menteri bagi bulan Mei hingga Ogos sebagai sumbangan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung Covid-19).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here