KUANTAN, 5 Sept — Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedang melakukan penambahbaikan segera capaian internet di Sabah sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah. 

Beliau berkata tumpuan penambahbaikan itu ialah di pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan undi yang merupakan lokasi penting semasa PRN, selain untuk kemudahan petugas media memberikan laporan segera kepada rakyat. 

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah mula membuat persiapan. Capaian internet di Sabah tidaklah sebaik tempat lain di Semenanjung dan ini harus diperbaiki segera kerana banyak aktiviti berkempen berlaku di media sosial pada musim pilihan raya. 

“Sebab itu kita berharap boleh membantu menambah baik capaian internet dalam masa segera dan tumpuan masa ini ialah mengoptimumkan 4G. Ini boleh dilakukan dengan belajar daripada pengalaman kita pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pahang sebelum ini,” katanya. 

Saifuddin berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Aspirasi Merdeka IM Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Kompleks Dagangan Mahkota di sini, hari ini. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Sept sebagai tarikh pengundian bagi PRN Sabah.  Hari pencalonan pula ditetapkan pada Sabtu depan.  

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota memaklumkan akan ke Sabah esok, bagi meninjau kerja menaik taraf capaian internet dan persediaan membuka pusat media untuk kemudahan petugas media sepanjang PRN Sabah. 

Pusat media PRN Sabah, menurut Saifuddin akan dibuka di Kota Kinabalu dan berkemungkinan di beberapa zon lain, mengambil kira geografi Sabah yang besar dengan diuruskan oleh agensi di bawah KKMM termasuk dibantu oleh pegawai dan kakitangan dari luar Sabah. 

Bagi pelan jangka panjang menambah baik capaian internet di Sabah, Saifuddin berkata rakyat negeri itu bakal menerima manfaat dalam pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 29 Ogos lepas. 

Ini meliputi pembinaan 382 menara komunikasi baharu, naik taraf 924 alat pemancar komunikasi di menara sedia ada dan 251,166 premis akan disediakan dengan capaian gentian optik, yang akan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun ini hingga 2021. 

Mengenai perkembangan lain, Saifuddin mengajak lebih ramai rakyat Malaysia termasuk yang berada di luar negara untuk menyertai kempen #MomenNegaraku dengan memuat naik karya kreatif seperti gambar atau video mereka ke platform media sosial. 

“Kita tidak dapat berarak seperti sebelum ini pada Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia kerana kebiasaan baharu akibat pandemik COVID-19, tapi kita boleh bersama-sama berarak di media sosial dengan menggunakan #MomenNegaraku. 

“Jika ada karya kreatif yang bersesuaian, kita mungkin boleh jadikan ia sebahagian daripada pengisian sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept ini, kerana kita amat mengalu-alukan pengisian oleh rakyat, selain yang disediakan oleh agensi dan jabatan kerajaan,” katanya. 

Saifuddin berkata antara karya kreatif oleh rakyat Malaysia dari luar negara yang menarik dan diingatinya ialah video lagu ‘Setia’ yang dinyanyikan oleh rakyat Malaysia dari 40 buah bandar di seluruh dunia yang dimuatnaik pada tahun lepas. 

— BERNAMA 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here