KUALA LUMPUR, 14 Okt – Transformasi amat diperlukan bagi membina daya tahan sektor industri dan perdagangan Malaysia untuk terus memperkasakan ekonomi negara, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telahpun menggerakkan transformasi penstrukturan sektor pembuatan, pelaburan dan perdagangan yang limpahan positifnya akan memanfaatkan komuniti perniagaan, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam sektor pembuatan, dan rakyat secara keseluruhannya.

Katanya MITI turut mengalu-alukan peruntukan Belanjawan 2024 bagi kementerian tersebut dan 15 buah agensi di bawahnya.

“Sejak Disember 2022, MITI telah memulakan usaha transformasi sektor pembuatan yang merangkumi pengenalan dasar-dasar baharu meliputi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030), Pelan Hala Tuju Industri Kimia 2030 (CIR2030) dan Rangka Kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Industri Nasional (i-ESG).

“Sehubungan itu, MITI amat mengalu-alukan pelbagai langkah dalam Belanjawan 2024 yang menyediakan peruntukan bagi melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah dasar-dasar MITI yang baru dilancarkan, mahupun dasar-dasar sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya dengan unjuran nilai industri halal dunia bakal mencecah RM22.34 trilion (hampir US$5 trilion) menjelang 2030, MITI mengalu-alukan langkah dalam Belanjawan 2024 ke arah memendekkan tempoh proses pensijilan halal daripada 51 hari kepada 30 hari bagi memajukan industri halal, termasuk meningkatkan eksport produk halal Malaysia ke seluruh dunia.

“Ini akan diterajui oleh Halal Development Corporation (HDC), sebuah agensi MITI, bersama-sama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” katanya.

Berlandaskan Dasar Automotif Nasional (NAP2020) yang diterajui MITI, beliau turut menyambut baik pengenalan Inisiatif Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik Untuk Rakyat dan skim ini dijangka dapat membantu mencapai Misi 3 NIMP 2030 iaitu Dorongan ke arah Karbon Sifar.

Subsidi rebat tunai motosikal EV turut akan memanfaatkan 10,000 pengguna motosikal EV yang pendapatan tahunannya di bawah RM120,000 kerana pembeli motosikal EV yang layak boleh menikmati nilai rebat RM2,400 sehingga 31 Dis 2024.

“Pelaksanaan inisiatif yang melibatkan peruntukan RM24.1 juta ini membuktikan keperihatinan Kerajaan MADANI dari segi keterangkuman dalam penggunaan teknologi baharu bagi seramai rakyat yang mungkin, di mana manfaat mobiliti EV tidak hanya terhad kepada kereta sahaja,” katanya.

Tengku Zafrul berkata menarik pelaburan, sama ada pelaburan langsung domestik (DDI) atau pelaburan langsung asing (FDI) serta galakan perdagangan adalah amat penting dalam usaha membina semula ekonomi Malaysia, seterusnya meningkatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

“Sehubungan itu, untuk memudah cara usaha bagi merealisasikan pelaburan dan perdagangan di Malaysia, saya sendiri akan mempengerusikan Jawatankuasa Tindakan dan Penyelarasan Pelaburan dan Perdagangan (JTPPP),” katanya.

Beliau berkata urusan perjalanan DDI dan FDI akan dimudahcara bermula daripada permohonan diterima sehinggalah pelaburan tersebut direalisasikan.

“JTPPP yang akan melapor terus kepada Majlis Pelaburan Negara, akan bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali setiap bulan bagi menangani cabaran yang dihadapi oleh pelabur secara telus, pantas dan tuntas,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here