KUALA LUMPUR, 10 Sept — Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperketatkan undang-undang pembangunan perumahan yang melibatkan kualiti pembinaan terutamanya projek rumah mampu milik dan perumahan penjawat awam. 

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata langkah tersebut adalah perlu susulan daripada pelbagai isu keselamatan yang timbul apabila pemaju membina perumahan dalam keadaan yang tidak sempurna dan kurang berkualiti.

“Tindakan yang diambil oleh KPKT adalah menyenaraihitamkan pemaju yang gagal mengikut spesifikasi, tetapi masih ada kelompongan kerana terdapat pemaju yang kembali semula dengan syarikat yang lain.

“Jadi dari sini kita lihat undang-undang masih perlu lebih diperketatkan untuk memastikan mereka menunaikan janji untuk mengikut kualiti spesifikasi yang telah di tetapkan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Digital Skim Rumah Pertamaku, di sini, hari ini. 

Beliau mengulas mengenai isu kualiti pembangunan yang tidak memuaskan melibatkan projek di bawah KPKT seperti Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Bukit Jalil dan PPAM Residensi Bayu Andaman di Sentul. 

Zuraida berkata pemantauan oleh KPKT telah di laksanakan sejak 2018, namun masih terdapat kes pemaju yang gagal mematuhi kualiti pembangunan yang ditetapkan oleh kerajaan. 

Malah, katanya, dalam laporan audit yang lepas, isu pembangunan tidak berkualiti turut di masukkan. 

Beliau berkata KPKT telah menstruktur semula organisasi dalaman dengan meletakkan seorang Timbalan Ketua Setiausaha yang bertanggungjawab memantau pembangunan projek dan akan memberi laporan penuh kepada Menteri dan Ketua Setiausaha dalam tempoh dua minggu sekali bagi setiap pembangunan. 

Berhubung sasaran KPKT untuk membina 100,000 unit rumah mampu milik setiap tahun, Zuraida berkata akan terdapat kelewatan bagi sasaran tahun ini susulan daripada penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memaksa pemaju untuk menghentikan pembangunan selama 3 bulan. 

Beliau menjangkakan kelewatan antara enam bulan sehingga satu tahun.

Namun, katanya, kini hampir 85 peratus pemaju sudah kembali aktif selepas kelongggaran PKP. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here