PETALING JAYA, 14 Sept: Dua orang pakar ekonomi memuji langkah AirAsia untuk mengembangkan “aplikasi super” bagi menyaingi Grab dan Gojek dalam usaha syarikat penerbangan tambang rendah itu mengurangkan kesan pandemik Covid-19 ke atas industri penerbangan.

Geoffrey Williams dari HELP University berkata, Grab dan Gojek bukan hanya mengenai perjalanan e-panggilan kerana kedua-dua syarikat itu berkembang menjadi perkhidmatan penghantaran yang lebih luas.

Katanya, yang penting adalah platform, bukannya perkhidmatan.

“Jadi idea anda boleh cipta 1 aplikasi untuk mencabar tawaran yang ada ini tidaklah pelik. Pasaran aplikasi menghampiri pertandingan sempurna kerana hanya terdapat sedikit halangan untuk masuk,” katanya kepada FMT.

Bulan lalu, CEO kumpulan AirAsia, Tony Fernandes memberitahu BBC dalam temu bual bahawa aplikasi “semua dalam 1” itu akan digunakan untuk penghantaran makanan, membeli-belah, pembayaran, hiburan dan perjalanan.

Tetapi Williams berkata, kejayaan aplikasi itu bergantung pada kadar penggunaan dan inovasi nilai tambahan.

“Sekiranya Fernandes dapat jumpa bahan utama untuk membuatkan orang beralih (kepada aplikasi itu), seperti menjadikannya lebih berguna, menawarkan lebih banyak produk dan jadikannya lebih murah untuk vendor, maka ia akan berfungsi.”

Tambahnya, jualan tiket penerbangan melalui aplikasi tidak akan mencukupi.

“Sedikit pemikiran lautan biru diperlukan untuk membuatkannya berjaya, mencari pengguna yang sebelum ini tidak dikenali atau mencari jalan untuk menarik pengguna bukan Grab perlu menjadi fokus,” katanya, merujuk kepada teori popular dalam pemasaran.

Sementara itu, Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway berkata, walaupun pasaran aplikasi sangat kompetitif, namun “lebih baik terlambat daripada tiada langsung” untuk AirAsia menceburkan diri dalam bidang itu memandangkan potensi besar yang ditunjukkan oleh e-dagang.

Beliau berkata, walaupun “aplikasi super” itu gagal mendapatkan saham pasaran, ia berguna dalam mengintegrasikan pasaran massa, pangkalan pasaran penerbangan kos rendah dengan potensi dan peluang perniagaan lain.

“Kekuatan AirAsia merangkumi pangkalan pelanggan besar merentasi negara di mana ‘aplikasi super’ boleh dijadikan sebagai galakan kepada produk dan perkhidmatan yang bersesuaian. Ia sudah mempunyai tapak melalui platform BigPay.”

Syarikat penerbangan itu katanya, perlu mengumpulkan modal besar untuk sama-sama bersaing dengan Grab, Gojek dan pemain industri besar China dan India yang telah berjaya menarik pelabur global yang besar.

Dalam pada itu, ketika ditanya apakah syarikat penerbangan lain perlu mengikuti jejak langkah AirAsia, pakar pengangkutan Roger Teoh berkata, langkah itu boleh menyerupai industri lain dalam meraih perniagaan.

“Mungkin ada beberapa sinergi jika syarikat penerbangan itu boleh menjual tiket mereka dan hotel melalui ‘aplikasi super’ itu bersama-sama dengan infrastruktur pembayaran bersepadu.”

Jelasnya, AirAsia berada di depan kerana telah sekian lama membangunkan platform BigPay untuk beberapa tahun, sementara syarikat penerbangan lain perlu bermula dari awal.

“Data mengenai tingkah laku pengguna yang dikumpulkan daripada ‘aplikasi super’ juga membolehkan AirAsia menjalankan iklan bersasar dan meningkatkan kemampuannya untuk secara dinamik menyesuaikan tambang mengikut pengguna individu.

“Ia dapat meningkatkan margin operasi mereka,” kata Teoh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here