TAWAU, 14 Sept — Kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan menjadi medan pertarungan tujuh penjuru antara ahli politik veteran dengan calon muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 Sept ini.

Pertembungan itu sudah tentu membawa persaingan sihat dan 12,640 jumlah pengundi di kawasan pilihan raya itu akan memilih calon terbaik menjadi  ‘Yang Berhormat’  untuk mengemudi DUN Kukusan.

Barisan Nasional (BN)  meletakkan calon ahli politik lama, Chaya Sulaiman, yang berpengalaman luas dan tidak asing dengan gerak kerja politik di Parlimen Kalabakan.

Chaya, yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kalabakan, berkata dirinya menceburi bidang politik sejak tahun 1991 bersama UMNO di Sabah.

“Saya diberi kepercayaan pucuk pimpinan untuk menjadi calon di DUN Kukusan, pemilihan saya ialah bukti kepada kesabaran dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada perjuangan parti, dan saya mahu mencipta sejarah menjadi wakil rakyat wanita pertama di sini,” kata ahli politik berusia 60 tahun itu.

Jika diberi mandat mewakili DUN Kukusan, menurutnya, mahu memperjuangkan nasib golongan wanita selain berhasrat mewujudkan hab pendidikan seperti politeknik atau seumpamanya di kawasan itu.

“Kita mahu terus menjana ekonomi dan memperkasakan bidang pendidikan. Di sini kita mahu agar wujud pusat pendidikan untuk anak-anak tempatan meneruskan pengajian tanpa perlu ke luar kawasan,” katanya yang  merupakan kakak kepada Anggota Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman dari Parti Warisan Sabah (Warisan).

Sementara itu, antara saingan Chaya pada PRN ini adalah calon wanita muda dari Warisan, Rina Jainal, 39, yang menyifatkan dirinya masih ‘bayi’ dalam arena politik.

Meskipun masih ‘setahun jagung’ dalam politik berbanding calon lawan, Rina berkata itu tidak melemahkan semangat dan akan terus bekerja demi rakyat serta pembangunan DUN Kukusan, apatah lagi jika  dipilih menjadi wakil rakyat kawasan itu.

“Saya mula memasuki dunia politik sejak tiga tahun lalu bersama Warisan dan sebelum itu hanya menumpukan kerjaya dalam bidang keusahawanan selain aktif dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Jalinan Sokongan Komuniti Keluarga sekitar Kalabakan.

“Kelebihan bertemu komuniti dan sering membuat lawatan kebajikan, membantu orang yang memerlukan serta aktif mengadakan bengkel memperkasakan wanita, peningkatan kendiri termasuk pendidikan anak-anak,” kata Ketua Wirawati Bahagian Kalabakan itu.

Rina yakin terhadap gelombang penerimaan rakyat memilih Warisan dengan kelebihannya mendekati golongan muda dan veteran.

Turut bertanding di DUN Kukusan ialah calon Parti Cinta Sabah (PCS) Ismail @ Taufik Muin, Lee Boon King (Parti Gagasan Rakyat Sabah), Wong Jin Soon (Parti Harapan Rakyat Sabah), Ismail Idris (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) serta Rosdiansah Mohd Nor dari Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here