PETALING JAYA,15 Sept: Profesional penjagaan kesihatan dan majikan menyeru kerajaan menyediakan insentif kepada syarikat yang mempromosikan kesihatan pekerja kerana penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kencing manis dan keadaan jantung membawa kesan buruk kepada produktiviti serta ekonomi.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr N Ganabaskaran memberitahu FMT, syarikat perlu mengambil peranan lebih aktif dalam kesihatan pekerja.

“Gaya hidup sihat boleh diterapkan sebagai sebahagian daripada budaya korporat,” katanya sambil menambah “ia hanya akan memanfaatkan mereka kerana ia akan meningkatkan produktiviti dan menurunkan kos perubatan”.

“Kerajaan patut menyediakan insentif kepada syarikat yang mempromosikan gaya hidup sihat melalui inisiatif dan program kerana ia dapat membantu mengurangkan beban NCD di negara ini secara signifikan.”

Satu laporan bersama Kementerian Kesihatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang diterbitkan minggu lalu menunjukkan kerugian kewangan akibat kematian pekerja, ketidakhadiran dan pekerja pergi bekerja dalam keadaan kesihatan teruk berjumlah RM8.91 bilion setahun, atau kira-kira 0.65% daripada keluaran dalam negara kasar.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia, Shamsuddin Bardan menyeru tindakan kerajaan dan penelitian segera ke atas pengurusan NCD.

“Campur tangan konkrit diperlukan segera sebelum ia semakin teruk dan mencapai tahap tidak boleh patah balik.”

Beliau berkata, terdapat hubung kait antara kesihatan pekerja dan faktor terpenting bagi sesebuah syarikat.

“Sekiranya tahap kesihatan dan kecergasan pekerja tidak baik, begitu juga prestasi seluruh organisasi dan ekonomi.”

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan memperuntukkan dana khusus untuk menangani NCD.

Katanya, Perkeso memperuntukkan dana untuk pekerja menjalani program saringan kesihatan, tetapi ia perlu diperluaskan untuk melawan NCD.

“Dalam jangka panjang, ini akan memberi manfaat kepada negara secara keseluruhan dengan memiliki tenaga kerja lebih sihat.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here