LUMUT, 15 Sept — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini buat julung kalinya mempengerusikan Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) ke-23 (PB23) di Pulau Pangkor dekat sini. 

Mesyuarat itu yang pertama kali berlangsung di luar Putrajaya dihadiri Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man; Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Turut hadir Pengerusi Bersama (Industri) Kumpulan Industri Malaysia-Kerajaan untuk Teknologi Tinggi (MIGHT) Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

Terdahulu, sebelum mesyuarat yang bermula pada 10.30 pagi, Perdana Menteri yang dalam lawatan kerja sulung ke Perak meluangkan masa kira-kira setengah jam meninjau jeti penumpang Pulau Pangkor yang memerlukan penambahbaikan selaras dengan statusnya sebagai Pulai Bebas Cukai sejak Januari lalu. 

Dalam tinjauan itu, Perdana Menteri turut diberikan penerangan dan taklimat oleh Ahmad Faizal mengenai cadangan pembangunan dan menambah baik jeti itu berikutan peningkatan memasukkan pelancongan.

Dalam mesyuarat itu, Ketua Pegawai Eksekutif NCIA Datuk Seri Jebasingam Issace John akan membentangkan Pelan Pembangunan Strategik (SDP) 2021-2025 Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang kemudian akan diserahkan kepada Menteri Besar Perak, Kedah, Perlis dan Ketua Menteri Pulau Pinang. 

SDP merupakan rangka kerja yang mantap dan strategik yang menggabungkan situasi semasa di negeri-negeri NCER iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak bagi menangani impak pandemik COVID-19.

Selain itu, Muhyiddin akan turut berinteraksi secara maya menerusi panggilan video dengan dua usahawan NCER yang berjaya masing-masing seorang dari Pendang, Kedah dan Kangar, Perlis. 

Bersesuaian dengan lawatan sulung ke Perak dan Pulau Pangkor, Muhyiddin turut meluangkan masa melawat tiga usahawan NCER yang ada iaitu Ismail Arshad yang mengusahakan minyak dan air gamat, pengusaha kraftangan ikan buntal Mohd Arshad Yusop atau dikenali sebagai Alang & Angry Fish di Kampung Telok Gedong dan  pengusaha hasil perikanan Rasid Ibrahim yang memiliki perniagaan Sate Ikan Paksu Enterprise. 

Perdana Menteri juga akan singgah untuk solat Zohor di Masjid Al-Khairiah atau dikenali sebagai Masjid Seribu Doa di Kampung Sungai Pinang yang berkonsepkan senibina cina dan nusantara, sebuah tarikan baharu di pulau peranginan itu. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here