KUALA LUMPUR, 18 Sept — Agrobank akan menganjurkan hari terbuka di semua 136 cawangannya di seluruh negara pada 19 dan 23 Sept untuk membantu pelanggan yang memerlukan bantuan dengan pembayaran balik pembiayaan mereka kerana tempoh moratorium enam bulan akan berakhir pada 30 Sept.

Penanggung Tugas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata pelanggan yang terjejas digalakkan untuk mengambil peluang ini dan mengunjungi Agrobank dan mereka akan dipertimbangkan mendapat bantuan daripada bank tersebut.

“Moratorium enam bulan yang akan berakhir pada 30 September depan tidak akan mengurangkan komitmen Agrobank terhadap pelanggan kami kerana ia adalah komitmen jangka panjang bank ini.

“Sehubungan itu, pada hari terbuka itu, kami menggalakkan pelanggan Agrobank mengunjungi mana-mana cawangannya di seluruh negara bagi mengadakan perbincangan secara bersemuka untuk memahami mengenai pilihan bantuan pembayaran itu bertujuan membantu mereka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini,” kata Khadijah.

Beliau berkata hari terbuka itu akan diadakan mulai pukul 10 pagi hingga 3 petang bertujuan memberi bantuan dan membolehkan pelanggan menangguhkan pembayaran pembiayaan mereka, memohon pengurangan bayaran ansuran atau menyusun semula pembiayaan mereka untuk jangka masa tertentu berdasarkan kes demi kes .

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here