KUALA LUMPUR, 19 Sept — Mata wang negara Asia, termasuk ringgit, dijangka diniagakan dalam aliran meningkat minggu depan, dengan unit tempatan bergerak ke arah paras psikologi 4.10.

Penganalisis Pasaran FXTM, Han Tan berkata data ekonomi lebih baik berbanding jangkaan yang dicatatkan China, menunjukkan pemulihan asas yang meluas, akan menyokong sentimen terhadap mata wang negara Asia.

“Walaupun ringgit mencecah paras tertinggi berbanding dolar AS sejak Februari, namun kenaikan ringgit setakat ini bagi tahun ini buat masa sekarang adalah kurang daripada satu peratus,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata ini juga didorong oleh kelemahan dolar AS yang menunjukkan unjuran rendah bagi ekonomi negara maju itu.

“Memandangkan dolar yang lemah akan meningkatkan tekanan inflasi AS, sejajar dengan pendirian baharu Rizab Persekutuan, maka ini dijangka membolehkan mata wang negara Asia memperoleh lebih banyak pergerakan meningkat pada minggu-minggu akan datang,” katanya.

Tan berkata keputusan FTSE Russell, yang dijangka minggu depan, mengenai sama ada akan mengekalkan bon Malaysia dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia atau sebaliknya, boleh mempengaruhi sentimen terhadap aset dalam pesisir.

“Sekiranya bon Malaysia dikekalkan dalam senarai pemantauan, itu akan mendorong kembali kebimbangan terhadap aliran keluar modal berpotensi dan sementara itu membolehkan ringgit meneroka lebih banyak kenaikan berbanding dolar AS,” katanya.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, ringgit meningkat berbanding dolar AS kepada 4.1100/1150 daripada 4.1510/1550 pada minggu sebelumnya.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit diniagakan tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.0299/0347 daripada 3.0384/0420 pada Jumaat minggu lepas namun susut berbanding yen kepada 3.9398/9450 daripada 3.9076/9124.

Unit tempatan lemah berbanding pound Britain kepada 5.3340/3421 daripada 5.3104/3167 namun meningkat berbanding euro kepada 4.8712/8787 daripada 4.9281/9332.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here