PETALING JAYA, Sept 25: Dua ahli ekonomi menyambut baik inisiatif bernilai RM10 bilion di bawah pakej rangsangan Kita Prihatin yang diumumkan pada Rabu.

Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata, Putrajaya menunaikan janji “untuk menjadi kerajaan yang prihatin”, sambil menambah bahawa subsidi akan memberi kelegaan kepada berjuta-juta keluarga yang berdepan kesukaran akibat pandemik Covid-19.

Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway berkata, pakej itu akan meringankan kesulitan ekonomi yang dihadapi oleh isi rumah B40 dan M40 serta perniagaan PKS dan boleh dilihat sebagai insurans fiskal bagi menampung permintaan domestik pada suku akhir 2020.

Menyifatkan pakej rangsangan ke-4 negara ini sebagai “sesuatu yang wajar diberi pujian” memandangkan kesan buruk dan jangka masa impak ekonomi Covid-19 yang lebih besar daripada jangkaan, Yeah berkata, ekonomi Malaysia perlu bertahan untuk jangka masa sukar yang lebih lama.

Jelasnya, langkah itu akan sangat penting bagi mereka di sektor tidak formal, di mana bantuan dan sokongan sangat diperlukan dan perlu disasarkan oleh kerajaan.

“Kita Prihatin membantu momentum pemulihan yang bermula pada suku ke-3 selepas penguncupan ketara KDNK sebanyak 17.1% pada suku ke-3,” katanya.

“Subsidi Upah 2.0 juga tepat pada masanya bagi membantu perniagaan untuk berdepan dengan lanjutan PKPP dengan kelayakan diluaskan kepada mereka yang terjejas berikutan pengurangan pendapatan 30% atau lebih.”

Syarikat yang layak mendapat insentif akan diberi subsidi 3 bulan sebanyak RM600 sebulan untuk setiap pekerja, dengan bilangan maksimum 200 pekerja.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga mengumumkan bantuan tunai Bantuan Prihatin Nasional 2.0 berjumlah RM7 bilion itu, merangkumi RM1,000 untuk 3.7 juta isi rumah B40, RM500 untuk 3.8 juta bujang B40, RM600 untuk 1.4 juta isi rumah M40 dan RM300 untuk 1.7 juta individu M40 yang belum berkahwin.

Subsidi upah dijangka memberi manfaat kepada 1.3 juta pekerja dan melibatkan peruntukan sebanyak RM2.4 bilion, sementara 200,000 usahawan mikro akan mendapat bantuan berjumlah sekitar RM600 juta.

“Geran untuk perniagaan mikro agak kecil,” kata Barjoyai. “Tetapi ini adalah permulaan yang baik dan semoga ia akan dilanjutkan kemudian.

“Inisiatif ini agak kecil untuk bertahan selama 3 bulan lagi, tetapi ini adalah kali pertama mana-mana kerajaan di Malaysia memberi bantuan kepada golongan berpendapatan rendah di negara ini secara berulang kali.

“Apa yang saya suka tentang pengumuman ini adalah kerajaan benar-benar mempraktikkan apa yang dijanjikannya, iaitu menjadi kerajaan yang prihatin.

“Tetapi ini semua adalah langkah untuk jangka pendek, dan kita masih menunggu langkah jangka panjang dan sederhana untuk cuba dan memulihkan ekonomi.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here